Anwar perlu berehat, fokus tugas hakiki - Mohd Syahir
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan berehat daripada melakukan aktiviti luar supaya perhatian terhadap tugasan hakiki dapat diberikan.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, segala aktiviti yang memberi keletihan, kelesuan dan gangguan terhadap Perdana Menteri perlu dikurangkan supaya fokus dan perhatian dapat diberikan kepada tugasan hakiki.
"Ada masa Perdana Menteri kelihatan menaiki pesawat, ada masa menaiki kereta, dan ada masa terpaksa berkejar berlari.
"Namun jika dilihat secara optik, penampilan Perdana Menteri sedikit lesu (fatigue), kepetahannya juga tidak seperti dahulu, malah perhatiannya mudah terganggu (distracted), petanda kondisisi Perdana Menteri sedikit terganggu," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Jelas beliau, ketika ini semua pihak sedang menunggu penyelesaian beliau terhadap ekonomi negara.
"Dalam keadaan ringgit dan ekonomi tidak menentu, semua pihak tertunggu-tunggu, apakah langkah intervensi yang bakal diumumkan Anwar merangkap Menteri Kewangan pada Isnin 19 Jun, sebagaimana dijanjikan oleh Timbalan Menteri Kewangan pada Ahad 18 Jun.
"Namun yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba dan hari tersebut berlalu tanpa sebarang langkah drastik bagi memulihkan ringgit dan ekonomi, sehinggalah ke hari ini," katanya.
Mohd Syahir menambah, apa yang menarik perhatian adalah sikap Ahli Parlimen Tambun itu yang menari bersama mahasiswa dan berseloroh bertanyakan nombor telefon kepada seorang pelajar dalam beberapa program baru-baru ini.
"Ada baiknya dalam tempoh beberapa hari menjelang Hari Raya Aidiladha ini, bolehlah dikurangkan sedikit aktiviti luar Perdana Menteri, lebihkan masa di meja Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, bagi menekuni 1001 dokumen yang pastinya sudah menanti.
"Malah sempena hari Wuquf pada 9 Zulhijah ini, amatlah baik jika Perdana Menteri dapat tangguhkan sementara segala aktiviti, ambil peluang untuk berpuasa sehari, bertafakur dan berzikir mohon keampunan dan petunjuk dari Ilahi.
"Semoga Allah pelihara Malaysia yang dicintai," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!