Perkukuh strategi capai Tier 1 elak implikasi
DUA tahun lalu, isu rasuah antara punca Malaysia berada di Tier 3 laporan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).
Pada 2022 pula, cara kemasukan pekerja asing menjadi punca Malaysia sekali lagi berada di kedudukan sama untuk dua tahun berturut-turut.
Namun, tahun ini kedudukan Malaysia berganjak sedikit apabila dinaik taraf ke Tier 2 Pemerhatian.
Tier 2 Pemerhatian merujuk negara yang tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum AS dalam memerangi pemerdagangan manusia tetapi sedang melakukan usaha ke arah itu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Malaysia gagal menduduki Tier 1 bagi laporan 2023 disebabkan episod pertukaran tampuk kerajaan.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mungkin soal untuk menaikkan taraf Malaysia tidak menjadi keutamaan oleh kerajaan ketika itu.
Pengelasan terbaharu ini menuntut tindakan segara diambil bagi mengelakkan negara berdepan pelbagai implikasi besar khususnya dari segi ekonomi.
Selain itu, negara boleh dinafikan daripada mendapat pinjaman daripada bank pembangunan multilateral seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa.
Malah, kesan ekonomi lain termasuk manfaat diperoleh sebelum ini seperti bantuan asing dan peluang terlibat dalam program pertukaran pendidikan dan kebudayaan turut berisiko untuk dinafikan.
Apa pun, Malaysia perlu mengakui mempunyai permasalahan berkaitan pemerdagangan manusia dan wajar meneliti semula keberkesanan undang-undang sedia ada.
Berdasarkan pemerhatian berkaitan penyeludupan pelarian Rohingya, sehingga kini, negara belum dapat menunjukkan undang-undang sedia ada dan usaha dilakukan berkesan membasmi kegiatan berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa Malaysia perlu memenuhi 15 syor penambahbaikan untuk memperkukuh kedudukan negara.
Menurutnya, penambahbaikan itu boleh dilaksanakan Malaysia bagi tujuan penilaian tahun berikutnya iaitu bermula 1 April lalu hingga 31 Mac 2024.
Status Tier 1 merujuk negara yang memenuhi sepenuhnya piawaian minimum AS bagi memerangi pemerdagangan manusia dan secara aktif membanteras isu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!