Kes dera kanak-kanak perlu komitmen semua
ISU penderaan kanak-kanak bukan perkara baharu dan tidak boleh dibiarkan terus berleluasa.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak 5,572 kes melibatkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak pada tahun lalu.
Melihat kepada angka itu, jenayah ini memerlukan komitmen tinggi semua pihak bagi memberi kesedaran tentang keganasan dan pengabaian kanak-kanak.
Sekiranya tidak dibendung, perilaku tidak waras ini memberi kesan psikologi kepada mangsa akibat tidak tahan dengan penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.
Akta Kanak-Kanak 2001 mentafsirkan penderaan fizikal berlaku apabila seseorang kanak-kanak dicederakan yang boleh dilihat akibat kekerasan atau penggunaan objek pada mana-mana bahagian tubuh.
Bagi kesan emosi pula menyebabkan gangguan boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, bersendirian dan perkembangan lambat.
Laman sesawang JKM menjelaskan, penderaan kanak-kanak merupakan satu pencabulan atau pelanggaran serius terhadap hak mereka untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup.
Penderaan ini berlaku di mana-mana sahaja sama ada mereka bersama keluarga, di pusat jagaan atau di sekolah.
Tidak hairan apabila ada sahaja kes dera dilaporkan di media sosial hingga membawa maut.
Terbaharu, pada Sabtu lalu, pasangan suami isteri ditahan polis kerana dipercayai mendera kanak-kanak berusia tujuh tahun di sebuah rumah teres di Wangsa Maju Kuala Lumpur.
Kejadian dilakukan ibu dan bapa tiri mangsa masing-masing berusia 35 dan 37 tahun, namun akhirnya disedari penduduk setempat.
Ini bermakna, peranan masyarakat amat penting dan istilah atau budaya ‘menjaga tepi kain orang’ atau mengambil berat perlu kembali diterapkan tetapi dalam sudut lebih positif.
Masyarakat perlu dididik dan peka dengan keadaan sekeliling selain boleh menjadi mata-mata kepada pihak berkuasa untuk melaporkan sebarang aktiviti atau perkara mencurigakan berlaku di dalam kawasan tempat tinggal.
Dengan menjadi masyarakat prihatin, maka tiada ruang untuk penjenayah melakukan penderaan seterusnya membendung perbuatan itu daripada terus berleluasa.
Ketidakadilan ini mesti dihentikan segera kerana kanak-kanak ini ibarat kain putih dan ibu bapa atau penjaga mencorakkan peribadi mereka pada masa depan.
Lebih penting mereka juga bakal mewarisi kepimpinan negara pada suatu hari nanti.
Sudah tentu cabaran yang perlu ditempuh semakin mencabar dalam pelbagai perkara dan isu keganasan dan penderaan ini perlu dihentikan segera.
Perbuatan tidak bertanggungjawab ini sebenarnya perlu keluar daripada ketamadunan negara ini yang telah mengecapi nikmat kemerdekaan hampir 66 tahun.
Pendera sepatunya melupakan seketika hal-hal di tempat kerja agar tidak membawa ke rumah selain faktor lain seperti terjebak dengan penyalahgunaan dadah, tekanan emosi, pengetahuan agama cetek dan pengalaman lampau.
Ibu bapa sebagai pihak paling rapat wajib memastikan mereka tidak tersisih sebaliknya diberikan sepenuhnya kasih sayang dan berhak mendapat perlindungan serta bantuan dalam segala hal.
Dalam hal ini, kerajaan diminta memperluaskan lagi kesedaran tentang perbuatan kekerasan terhadap kanak-kanak.
Kempen berbentuk kekeluargaan ini perlu disebar luas di media massa, media sosial dan mengedarkan risalah kepada komuniti setempat.
Program kesedaran seperti ini mampu memberi pengetahuan dan kesedaran tinggi bagi mengurangkan kes penderaan kanak-kanak.
Selain itu juga, kerajaan perlu bertegas dan membuat penambahbaikan membabitkan perlindungan, kebajikan serta pemeliharaan kanak-kanak di negara ini.
Komitmen ini penting bagi memastikan pembelaan terhadap kanak-kanak lebih bersifat berfokus, komprehensif dan efisien.
Semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan amalan kekerasan dan penderaan ini dihentikan serta-merta.
Kita mesti memberikan perlindungan kepada kanak-kanak bukan memperlakukan mereka dengan sesuka hati yang akhirnya memudaratkan pewaris masa depan negara.
*Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Selangor/KL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!