PRN: DUN Pulau Pinang bubar 28 Jun

Kon Yeow menunjukkan proklamasi yang ditandatangani Ahmad Fuzi selepas perjumpaaan untuk pembubaran DUN Pulau Pinang di Seri Mutiara pada Selasa.
Kon Yeow menunjukkan proklamasi yang ditandatangani Ahmad Fuzi selepas perjumpaaan untuk pembubaran DUN Pulau Pinang di Seri Mutiara pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tiba di kediaman rasmi Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Seri Mutiara pada jam 7.53 pagi Selasa.

Kon Yeow bertemu Ahmad Fuzi untuk mendapatkan persetujuan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Selain Kon Yeow, turut kelihatan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar turut memasuki pekarangan Seri Mutiara.

Beliau kemudiannya dilihat meninggalkan Seri Mutiara pada jam 8.33 pagi.

Ketika ditemui di luar pekarangan Seri Mutiara, Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang telah mendapat persetujuan Ahmad Fuzi untuk membubarkan DUN Pulau Pinang.

"Saya telah mendapat perkenan TYT untuk menandatangani proklamasi untuk membubar DUN untuk membolehkan pilihan raya negeri (PRN) yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya setelah semua negeri membubarkan Dewan masing-masing.

"Saya merasa lega selepas perkara ini sudah berakhir untuk kita buat persediaan PRN. Pembubaran DUN Pulau Pinang berkuatkuasa pada 28 Jun 2023," katanya.

Kon Yeow dijadualkan akan mengadakan sidang akhbar mengenai pembubaran DUN Pulau Pinang pada jam 2.30 petang di Pejabat Ketua Menteri di Komtar.

Kon Yeow sebelum ini mengumumkan Pulau Pinang akan membubarkan DUN pada 28 Jun bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) dijalankan.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH.

Selepas Bersatu keluar daripada gabungan PH dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dipecat daripada parti dan kemudiannya menyertai PPBM, empat kerusi itu, Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam jatuh di bawah Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, keempat-empat mereka telah diusir daripada Dewan Undangan Negeri pada Mac lalu selepas Dewan meluluskan usul untuk memaksa mereka mengosongkan kerusi mengikut undang-undang anti lompat parti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!