Waspada aplikasi hasad ‘Pink WhatsApp’

Orang ramai diingatkan berwaspada menerima jemputan untuk menyertai atau memuat turun aplikasi hasad ‘Pink WhatsApp’. - Foto123RF
Orang ramai diingatkan berwaspada menerima jemputan untuk menyertai atau memuat turun aplikasi hasad ‘Pink WhatsApp’. - Foto123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan berwaspada menerima jemputan untuk menyertai atau memuat turun aplikasi hasad ‘Pink WhatsApp’.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), aplikasi berkenaan boleh mendedahkan mana-mana pengguna telefon pintar kepada risiko keselamatan serius iaitu mengakses pelbagai item dalam telefon pintar pengguna seperti gambar, mesej dan senarai kenalan.

“Para pengguna akan menerima mesej dan pautan seolah-olah datang daripada WhatsApp yang mengajak pengguna untuk mencuba aplikasi baharu tersebut.

“SKMM menasihatkan pengguna untuk tidak memuat turun dan memasang aplikasi 'Pink WhatsApp' tersebut dan segera membuang aplikasi berkenaan sekiranya ia telah dipasang dalam telefon pintar mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk hanya memuat turun aplikasi mudah alih daripada aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery da berhati-hati dengan sebarang pautan mencurigakan.

SKMM ingin menekankan kepentingan untuk berhati-hati ketika menggunakan aplikasi mudah alih, mengambil langkah pencegahan untuk melindungi maklumat peribadi, serta mengelak daripada memuat turun aplikasi hasad.

“Para pengguna adalah disarankan untuk kekal berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dengan 'Pink WhatsApp' kepada portal Aduan SKMM di pautan https://aduan.mcmc.gov.my/#/public/main atau talian hotline Aduan di 1800- 188-030,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!