Mara final Piala FA, JDT dedikasi kejayaan kepada TMJ
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan kejayaan mara ke final Piala FA 2023 setelah menewaskan Selangor FC, 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin sebagai dedikasi kepada pemilik skuad berkenaan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau TMJ.
Menurut Solari, perkara itu dilihat wajar atas segala usaha serta sokongan yang diberikan Tunku Ismail terhadap skuad Harimau Selatan itu selama ini sehingga berada pada tahap terbaik ketika ini.
“Kami dedikasikan kemenangan ini kepada TMJ (Tunku Ismail), yang merupakan bos bagi kelab ini.
“TMJ sentiasa menyokong kami dalam apa juga keadaan dan sering meminta kami untuk sentiasa berani memasang impian yang lebih besar (dream bigger).
“Oleh itu, kemenangan dan kejayaan mara ke final Piala FA ini kami dedikasikan kepada TMJ,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan, pada Isnin.
Pada aksi separuh akhir berkenaan, JDT menang 4-0 ke atas Selangor FC dengan Arif Aiman Mohd Hanapi meledak hattrik pada minit ke-20, (m-33 dan m-38).
Satu gol lagi dijaringkan penyerang import berbisa JDT, Fernando Forestieri pada minit ke-47 bagi melengkapkan kemenangan penuh bergaya di hadapan lebih 30,000 penonton di Stadium Sultan Ibrahim.
Mengulas mengenai aksi separuh akhir berkenaan, Solari mengakui ia sebagai satu perlawanan yang agak sukar berdepan dengan skuad Red Giant itu.
Katanya, selain memiliki karakter, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu juga dibarisi ramai pemain handalan termasuk beberapa pemain skuad kebangsaan.
“Perlawanan ini memang sukar sejak mula (wisel permulaan), kami diasak sejak minit pertama lagi.
“Namun lama kelamaan kami mula dapat menyesuaikan diri dengan perlawanan dan mula menjaringkan gol..kami juga mula bertahan dengan baik dan sekali lagi berjaya mengelakkan pintu gol dibolosi.
“Ya, kami juga boleh menjaringkan lebih banyak gol, tetapi seperti yang pernah saya beritahu sebelum ini, bola sepak bukanlah satu permainan yang mudah,” katanya.
Sementara itu Solari menyifatkan penyerang import, Diogo Luis Santo telah memberikan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan apabila dilihat banyak membantu pasukan terutamanya dengan lorongan-lorongan bola kepada jentera serangan bagi menjaringkan gol.
“Saya tak tahu bagaimana untuk menggambarkan prestasi Diogo kerana pada saya, dia merupakan pemain yang berkualiti...selain menyerang dia juga bertahan dan sering melakukan hantaran-hantaran baik mengikut ‘timing’ yang bersesuaian.
“Mungkin kita tidak turunkan Bergson (Da Silva) malam ini (Isnin), tetapi kita turunkan Diogo dan ternyata dia telah mempamerkan aksi terbaik dan membantu kemenangan pasukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!