Atase Agama Kedutaan Arab Saudi mengadap Agong

Istana Negara - Foto Bernama
Istana Negara - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap Atase Agama Kedutaan Arab Saudi Syaikh Abdul Rahman Mohammed Al-Harfi di Istana Negara di sini, hari ini.

Dalam kunjungan hormat selama setengah jam itu, baginda sempat mendengar perkongsian Syaikh Abdul Rahman berkaitan pengalaman beliau berkhidmat selama empat tahun di negara ini.

Menurut kenyataan pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi, Syaikh Abdul Rahman berharap kunjungan hormat itu dapat merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara terutama dalam isu berkaitan hal ehwal agama Islam.

“Malaysia dan Arab Saudi berkongsi banyak persamaan terutama dari segi keterikatan kerajaan dan rakyatnya. Hubungan antara kedua-dua negara telah lama terjalin dan kita berharap akan terus erat.

"Sepanjang empat tahun berkhidmat di sini, saya amat menikmati setiap pengalaman indah bekerjasama dengan rakan-rakan dari Malaysia. Mereka semua amat baik dan banyak membantu,” katanya.

Syaikh Abdul Rahman berkata peluang mengadap Yang di-Pertuan Agong membuatkan beliau berasa amat diberkati.

“Yang di-Pertuan Agong seorang Raja yang peramah dan merendah diri. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak yang mengaturkan pertemuan ini terutama Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!