PRN: 20 kerusi milik Pas di Kelantan bakal tergugat

Muhamad (tiga dari kanan) menyerahkan anak ayam kepada petani yang terpilih pada Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Agro Industri Seliaan Padi (ternakan unggas) di Pejabat KADA Selising, Pasir Puteh.
Muhamad (tiga dari kanan) menyerahkan anak ayam kepada petani yang terpilih pada Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Agro Industri Seliaan Padi (ternakan unggas) di Pejabat KADA Selising, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Sebanyak 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik Pas di negeri ini dijangka tergugat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Muhamad Husain berkata, situasi itu bersandarkan kepada jumlah gabungan undi PH dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

"Kedudukan itu memberi semangat kepada PH dan BN untuk terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada kita nanti.

"Alhamdulillah, kerjasama kami semakin kukuh dan sudah bersiap sedia untuk berdepan Pas," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.

Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Agro Industri Seliaan Padi (ternakan unggas) di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Selising, di sini.

Menurut beliau, PH sah bertanding di 14 kerusi daripada 45 DUN di negeri ini pada PRN ini.

Ujarnya, kerusi itu melibatkan Limbongan (Pasir Puteh); Tawang (Bachok); Kadok (Ketereh); Panchor (Pengkalan Chepa); Tanjong Mas; Kota Lama (Kota Bharu); Pasir Tumbuh; Demit (Kubang Kerian); Bukit Panau (Tanah Merah); Chetok (Rantau Panjang); Pasir Mas (Pengkalan Pasir); Mengkebang (Kuala Krai); Temangan (Machang) dan Pasir Pekan (Tumpat).

Muhamad memberitahu, senarai nama calon sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi PH untuk diputuskan.

"Pada masa sama PH dijangkakan meletakkan calon wanita pada PRN kali ini," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!