Mahrez sasaran terbaharu kelab Arab Saudi

Mahrez - Foto Agensi
Mahrez - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN sensasi Manchester City, Riyad Mahrez menjadi sasaran terbaharu kelab Arab Saudi, Al-Ahli untuk beraksi dalam kancah Liga Pro Saudi musim baharu akan datang.

Kelab itu dalam proses untuk melengkapkan perjanjian bagi membawa pemain Liverpool, Roberto Firmino dan penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy ke negara Teluk tersebut.

Mendy sedia menjadi pemain terbaharu The Blues untuk berubah angin ke Arab Saudi, mengikut langkah langkah N'Golo Kante dan Kalidou Koulibaly.

Firmino pula akan menjalani pemeriksaan kesihatan di Al-Ahli selepas meninggalkan The Reds sebagai ejen bebas.

Mahrez berada dalam senarai berikutnya dan dia ditawarkan 43 juta pound (RM255 juta) setahun termasuk bayaran bonus bagi kontrak dua tahun.

Tawaran Al-Ahli itu lima kali ganda berbanding lanjutan kontrak bernilai 8.5 juta pound (RM50.5 juta) yang ditandatanganinya di City pada musim panas lalu.

Pemain berusia 32 tahun itu dilaporkan berminat untuk menamatkan kariernya di Arab Saudi.

Bagaimanapun, Mahrez dalam dilema sama ada mahu meninggalkan City pada musim panas ini selepas meraih tiga trofi di bawah kendalian Pep Guardiola.

Pemain sayap itu dikatakan kecewa kerana kurang beraksi pada hujung musim lalu apabila dia hanya bertindak sebagai pemain gantian dan tidak diturunkan pada final Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Turut menjadi persoalan sama ada City boleh membenarkan Mahrez yang masih mempunyai kontrak hingga 2025 mengikut jejak kaptennya, Ilkay Gundogan meninggalkan Etihad dengan Bernardo Silva turut menarik minat Al-Hilal.

Al-Ahli kembali beraksi dalam liga utama Arab Saudi selepas tersingkir secara mengejut dan salah satu daripada empat kelab asas - termasuk Al-Nassr, Al-Hilal dan Al-Ittihad yang diambil alih awal bulan ini oleh Dana Pelaburan Awam negara itu yang juga memiliki Newcastle United.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!