Kes pegawai kanan Menteri Sumber Manusia di peringkat akhir
KUALA LUMPUR - Kertas siasatan kes rasuah pengambilan pekerja asing yang melibatkan pegawai kanan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kes tersebut kini dalam peringkat akhir siasatan dan pihaknya akan mengemukakan kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya apabila ia selesai.
"Kita tidak pernah melengah-lengahkan siasatan terhadap mana-mana pihak.
“Siasatan mereka di kementerian tersebut sedang dijalankan di peringkat akhir, apabila selesai kita akan kemukakan ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Integriti, di sini pada Selasa.
Beliau berkata, semuanya bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
"ia bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kaji, kadang-kadang ada perkara perlu diperkemaskan, ia akan dihantar semula kepada kami,” katanya.
Pada Mei lalu, media melaporkan Sivakumar mengesahkan bahawa lima pegawainya yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah ditamatkan kontrak.
Sivakumar dilaporkan berkata, pemecatan lima pegawainya yang terpalit dalam skandal rasuah membabitkan pengambilan pekerja asing itu dilakukan bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar.
April lalu, SPRM menahan dua pegawai kanan Sivakumar membabitkan isu rasuah dalam sebuah agensi pengambilan pekerja asing.
Susulan penahanan pegawainya ketika itu, Sivakumar dilaporkan menggantung tugas tiga pegawai kanannya termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM.
Turut dilaporkan, SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar, namun Menteri Sumber Manusia itu kemudian menafikan perkara itu, di samping menegaskan akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
SPRM turut dilaporkan mengambil kenyataan Sivakumar berhubung siasatan kes rasuah mengenai pengambilan pekerja asing itu pada 16 April lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pegawai kanan Menteri Sumber Manusia ditahan SPRM
Setiausaha Sulit Menteri Sumber Manusia ditahan SPRM
Serah kepada SPRM untuk siasat - PM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!