Kerajaan pertahan kedaulatan negara di Beting Patinggi Ali
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan kawasan Lapangan Gas Kasawari dan Beting Patinggi Ali di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Laut China Selatan yang merupakan milik negara, sebagaimana diperakui dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan sedar, terdapat kewujudan kapal-kapal asing yang meletakkan aset mereka di kawasan berkenaan selama ‘24 jam sehari dan 365 hari setahun’ namun Malaysia tidak pernah berdiam diri dalam hal itu.
"Kita menghantar banyak nota diplomatik berkenaan perkara tersebut dan kita juga meletakkan aset kita di sana untuk menandakan bahawa ini kawasan kita.
"Ini merupakan satu perkara yang sensitif yang perlu diurus sebaik mungkin kerana kita tidak mahu ada insiden yang tidak diingini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang bertanyakan tentang jumlah pencerobohan atau kehadiran kapal-kapal asing di Lapangan Gas Kasawari yang berada di ZEE.
Katanya, di kawasan ZEE berkenaan, terdapat telaga minyak dan gas negara yang perlu dipertahankan, memandangkan ia turut menyumbang kepada 25 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!