Bekalan ikan mencukupi, harga stabil

Salahuddin (kiri) beramah mesra dengan pengguna di Pasaraya Econsave Muar pada Selasa.
Salahuddin (kiri) beramah mesra dengan pengguna di Pasaraya Econsave Muar pada Selasa.
A
A
A

MUAR - Bekalan ikan di pasaran tempatan yang dilaporkan berkurangan sejak sebulan lalu dilaporkan kembali pulih dan harganya stabil sepanjang Aidiladha.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pengurangan bekalan dan kenaikan ikan sebelum ini hanya bersifat sementara.

"Dua bulan lepas, sewaktu saya berada di Kelantan dan Terengganu, nelayan beritahu ketika itu laut berangin dan kadang kala berlaku ribut.

"Ketika itu, harga ikan kembung mencecah harga RM18 hingga RM20 sekilogram. Tetapi nampaknya dalam seminggu dua ini harganya sudah kembali normal iaitu RM14 hingga RM15 sekilogram.

"Harga ikan mengikut harga bekalan, saya nampak ia sudah kembali stabil dan mencukupi," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan 200 kambing sempena korban dan akikah rahmah di Pasaraya Econsave Muar, di sini pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan cuaca panas dan ribut di laut menjadi punca bekalan ikan tempatan kurang sehingga harganya di pasaran meningkat sejak akhir-akhir ini.

Antara jenis ikan yang mengalami kenaikan harga adalah kembung, selayang, pelaling dan kerisi.

Kekurangan hasil tangkapan nelayan tempatan menyebabkan pemborong terpaksa mengambil bekalan dari Thailand.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!