Gadis cantik kental usahakan tanah sawah

Siti Hajar membersihkan sawah padi menggunakan traktor pembajak sawah di Kampong Lepah Selising. - Foto: Bernama
Siti Hajar membersihkan sawah padi menggunakan traktor pembajak sawah di Kampong Lepah Selising. - Foto: Bernama
A
A
A
PASIR PUTEH - Seorang gadis membuktikan perwatakan lembut bukan halangan memecah tembok dunia pekerjaan yang dimonopoli lelaki apabila berjaya mengusahakan tanah sawah di Kampung Lepah, di sini, seawal umur 18 tahun.

Tidak seperti gadis lain yang seusianya, Siti Hajar Che Satar, 20, mempunyai keazaman yang sangat tinggi untuk bergelar petani wanita yang berjaya di negeri ini.

"Saya memang terdedah dengan kerja-kerja sawah sejak kecil lagi sebab ayah seorang petani tetapi mulai serius ceburi kerjaya lasak ini bermula dua tahun lalu selepas tamat tingkatan lima," katanya kepada Bernama, di sini pada Selasa.

Menurut Siti Hajar, hasratnya untuk bergelar petani awalnya tidak dipersetujui ayahnya, Che Satar Nor, 63, yang lebih suka dia menyambung pelajaran.

Namun Siti Hajar berjaya meyakinkan ayahnya selepas berjaya mengusahakan 0.4 hektar tanah sawah sebagai percubaan dengan meraih jualan hasil pertama sebanyak RM4,000.

Siti Hajar berkata, beliau makin bersemangat untuk mengusahakan tanaman padi selepas berjaya mengekalkan 'rekod' baik sepanjang tiga musim lepas.

Siti Hajar Che Satar, menerbangkan dron bagi kerja-kerja menyembur racun untuk tanaman padi di Kampong Lepah Selising. - Foto Bernama
Siti Hajar Che Satar, menerbangkan dron bagi kerja-kerja menyembur racun untuk tanaman padi di Kampong Lepah Selising. - Foto Bernama



Bermula dari kejayaan tersebut, anak bongsu daripada lapan beradik itu mula menambah kemahiran dirinya dengan belajar mengendalikan dron, traktor pembajak dan memandu lori sendiri daripada dua abangnya Mohd Firdaus, 27, dan Mohd Aiman, 23.

"Dua orang abang saya ini saya anggap 'sifu' selain ayah. Mereka banyak mengajar saya mengendalikan semua peralatan pertanian untuk proses penanaman padi.

"Dalam tempoh sebulan saya berjaya menguasai kemahiran mengendalikan traktor bajak tanah selain menggunakan dron untuk proses menabur benih dan membaja," katanya.

Berbekalkan kemahiran yang dikuasainya itu Siti Hajar berhasrat menambah keluasan tanaman padinya kepada empat hektar pada musim akan datang.

Bercerita mengenai cabaran bergelar petani Siti Hajar mengakui ia bukan sesuatu yang mudah dan menuntut persediaan mental dan fizikal.

Namun berbekalkan iltizam yang kuat dia bersedia menyahut semua cabaran itu termasuk terpaksa berjemur di bawah terik matahari.

"Ramai juga yang mempersoalkan kerja pilihan saya ini kerana biasanya gadis seusia saya sangat mementingkan kecantikan sedangkan saya sanggup berjemur di bawah terik matahari.

Siti Hajar menerbangkan dron bagi kerja-kerja menyembur racun untuk tanaman padi di Kampong Lepah Selising. -Foto Bernama
Siti Hajar menerbangkan dron bagi kerja-kerja menyembur racun untuk tanaman padi di Kampong Lepah Selising. -Foto Bernama



"Tapi bagi saya, tidak menjadi satu kesalahan jika kita mempunyai pendirian berbeza asalkan apa yang diimpikan mampu dicapai," katanya.

Menurut Siti Hajar, bidang pertanian mempunyai prospek kerjaya yang cerah memandangkan permintaan terhadap bekalan makanan sangat tinggi di dalam dan luar negara.

Perspektif tersebut menguatkan lagi keyakinannya untuk terus fokus kepada bidang yang diceburinya itu.

"Siapa tahu mungkin satu hari nanti saya boleh mengusahakan tanah sawah yang lebih luas, memiliki pekerja yang ramai, kilang pemprosesan padi sendiri dan produk beras jenama sendiri," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!