UMNO Kota Raja mahu Tengku Zafrul bertanding DUN Sungai Kandis

Abdul Raof (tengah) mewakili UMNO Bahagian Kota Raja berharap Kerajaan Perpaduan PH-BN mempertimbangkan permintaan mereka meletakkan Tengku Zafrul sebagai calon DUN Sungai Kandis.
Abdul Raof (tengah) mewakili UMNO Bahagian Kota Raja berharap Kerajaan Perpaduan PH-BN mempertimbangkan permintaan mereka meletakkan Tengku Zafrul sebagai calon DUN Sungai Kandis.
A
A
A

KLANG - UMNO Bahagian Kota Raja berharap Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diketengahkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Abdul Raof Mokhtar berkata, Tengku Zafrul merupakan pemimpin berdedikasi, berintegriti, dan berpengalaman dalam bidang pentadbiran.

Menurutnya, Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu mempunyai visi dan misi yang jelas untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.

"UMNO Bahagian Kota Raja menyokong penuh Tengku Zafrul sebagai calon Kerajaan Perpaduan DUN Sungai Kandis agar dapat mewujudkan perubahan yang diimpikan bersama-sama.

"Bersama Tengku Zafrul, kita mampu mencapai masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua.

"Saya yakin Tengku Zafrul akan berusaha gigih untuk memajukan kawasan DUN yang beliau tandingi dan mampu memperjuangkan kepentingan rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, hasrat tersebut selari dengan semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di peringkat pusat.

"Ketika ini Parlimen Kota Raja diwakili oleh wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah). Adalah wajar DUN Sungai Kandis yang hampir 70 peratus pengundi Melayu diwakili oleh UMNO.

"Hasrat ini harus dizahirkan dan dipertimbangkan oleh kepimpinan parti gabungan BN-PH demi memberi keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas ini," katanya.

Menjelang PRN, terdapat ura-ura nama Tengku Zafrul akan bertanding di DUN Sungai Kandis dan Kuang namun tiada pengesahan dibuat berhubung perkara itu sehingga kini.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan pengagihan kerusi antara PH-BN dijangka selesai selepas Aidiladha.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!