Sentimen perkauman PN tidak akan berjaya tarik pengundi
SEREMBAN - Sentimen perkauman dan agama yang mungkin menjadi modal utama kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak akan berjaya memenangi hati pengundi.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau percaya rakyat mahu melihat sesebuah kerajaan itu diuruskan oleh kepimpinan yang memikirkan semua kaum.
"Jangan jadikan sentimen perkauman dan agama sebagai modal untuk memenangi hati rakyat kerana rakyat hari ini sudah bijak menilai.
"Saya tak fikir pengundi Negeri Sembilan boleh terima pendekatan politik perkauman kerana kerajaan negeri ini tidak boleh ditubuhkan atas persepsi kebencian," katanya pada program Majlis Jalinan Mesra Mesra Bersama Jalaluddin di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini pada Selasa.
Malah ujarnya, sentimen negatif sebegitu tidak sepatutnya dibenarkan berlaku dalam pentadbiran negara dan negeri.
Tambahnya, sudah berdekad lamanya negara diurus oleh koloborasi pelbagai kaum dan agama yang mana ia merupakan formula corak pemerintahan yang berjaya.
"Saya tak setuju sama ada dari parti UMNO atau pembangkang atau rakan kerjasama BN yang ekstrem kepada satu kaum saja.
"Saya juga yakin yang sokongan terhadap UMNO tidak akan berkurang pada PRN ini meskipun pelbagai sentimen perkauman yang diwujudkan hasil kerjasama yang dibentuk dengan Pakatan Harapan (PH)," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, UMNO negeri itu masih dalam proses menyenarai pendek calon-calonnya yang akan bertanding pada PRN.
Beliau berkata, setiap Ketua Bahagian telah diminta untuk mengemukakan sekurang-kurangnya tiga atau empat nama cadangan calon di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibuat pertimbangan.
"Ia masih dalam proses dan kita akan selesaikan secepat mungkin. Kita akan tengok mana terbaik dari kalangan yang terbaik.
"Setelah proses ini selesai, saya akan serahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dibuat keputusan. Saya cuma mencadangkan saja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!