Ibu mengandung tak mengaku rompak warga emas

Ibu mengandung tujuh bulan didakwa di Mahkamah Majistret, Kota Bharu pada Selasa atas pertuduhan cuba merompak seorang warga emas dengan menjerut leher dan mengacukan pemutar skru kepada wanita berusia 64 tahun itu.
Ibu mengandung tujuh bulan didakwa di Mahkamah Majistret, Kota Bharu pada Selasa atas pertuduhan cuba merompak seorang warga emas dengan menjerut leher dan mengacukan pemutar skru kepada wanita berusia 64 tahun itu.
A
A
A

KOTA BHARU - Ibu mengandung tujuh bulan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa atas pertuduhan cuba merompak seorang warga emas di Kampung Tanjung Chat, Jalan Sungai Keladi.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada jam 10 hingga 11 pagi pada 22 Jun lalu dengan menjerut leher dan mengacukan pemutar skru kepada wanita berusia 64 tahun itu.

Tertuduh, Nor Fahtihah Ahmadi, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Idzham Naim Che Ani.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Siti Aisyah Abdul Manah manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Syafiq Syed Abu Bakar.

Terdahulu, Siti Aisyah mencadangkan ikat jamin RM15,000 diberikan kepada tertuduh.

Syed Muhammad Syafiq dalam rayuannya memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya itu sedang mengandung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 18 Julai depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!