Peniaga di Pantai Bisikan Bayu langgar perjanjian
PASIR PUTEH - Syarikat Intergold Entity (M) Sdn Bhd dan Sri Uda Sdn Bhd menjelaskan punca sebenar peniaga di Pantai Bisikan Bayu, di sini diarah berpindah kerana melanggar perjanjian.
Jurucakap Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang syarikat itu berkata, ia tidak melibatkan seramai 85 peniaga sepertimana yang dinyatakan sebelum ini.
"Peniaga kecil terutama penduduk tempatan yang tidak berniaga di gerai yang dibina atau disewakan oleh penyewa terbabit tiada kaitan dengan kes ini.
"Mereka masih boleh terus menjalankan perniagaan seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, notis milikan bertarikh 19 Jun sudah diserahkan oleh Bailif Mahkamah Sesyen Kota Bharu, kepada penama yang menyewa dan peniaga-peniaga di kawasan lot pt 8319 berkeluasan 1,760 meter persegi.
Tambahnya, Sri Uda Sdn Bhd telah memberikan sewaan seluas 1,100 meter persegi sahaja atas tanah tersebut kepada penyewa berkenaan dengan sewa RM500 sebulan atas permintaannya dan dasar belas kasihan pada 1 Mac 2021 hingga 31 Disember 2021.
"Namun, penyewa didapati tidak menepati keluasan asal tanah yang disewakan sehingga Sri Uda terpaksa meminda perjanjian sewa kepada keluasan 1,760 meter persegi dengan sewaan RM1,000 sebulan bermula dari 1 April 2021 hingga 31 Disember 2021 daripada 5.079 hektar luas keseluruhan tanah milikan.
"Penyewa telah mungkir Perjanjian Penyewaan dan Pindaan apabila didapati tidak mempunyai lesen aktiviti perniagaan dan pengurusan selain aktif menjalankan aktiviti urus niaga yang tidak sah dari segi undang-undang," ujarnya.
Menurut jurucakap Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang syarikat itu, sebelum ini, syarikat atas dasar ihsan telah memberikan masa hampir empat bulan untuk penyewa dan 'orang-orangnya' mengosongkan tanah tersebut.
Tambahnya, namun mereka telah ingkar untuk berbuat demikian walaupun telah menyatakan kesanggupan untuk berpindah.
Kenyataan itu memberitahu, penyewa berkenaan juga telah mendirikan gerai-gerai kecil di atas tanah yang disewa tanpa kebenaran dan persetujuan pemilik dan pengurus tanah yang mana dipercayai turut disewakan kepada peniaga lain.
"Memandangkan segala perlanggaran Perjanjian Sewa dan Pindaan olehnya, Sri Uda Sdn Bhd telah menamatkan Perjanjian Sewa dan Pindaan melalui Notis bertarikh 10 Disember 2021.
"Perjanjian Sewa juga telah luput pada 31 Disember tahun yang sama dan tiada sebarang lanjutan Perjanjian Sewa diberikan namun Sri Uda atas belas kasihan telah memberikan lanjutan masa untuk pengosongan tanah sehingga 14 Januari 2022.
"Penyewa juga telah gagal, enggan dan atau cuai untuk membuat bayaran sewa bulanan sejak bulan Disember 2021 sehingga sekarang iaitu selama 19 bulan yang mana mengikut writ pemilikan berjumlah RM33,000," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, penyewa dan 'orang-orangnya' telah memfailkan pembelaan dan tuntutan balas sebanyak RM600,000 terhadap tuntutan Intergold Entity dan Sri Uda Sdn Bhd namun mahkamah telah membenarkan tuntutan pemilik tanah dan menolak keseluruhan tuntutan balas mereka pada 6 Februari tahun ini.
Pihaknya juga tidak teragak-agak membuat laporan polis sekiranya mendapati ada unsur hasutan terhadap peniaga lain yang tidak berkait dengan isu pengosongan dan pindah ini.
Pada Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan Pantai Bisikan Bayu di sini yang sebelum ini terpalit dengan isu sampah bakal sepi susulan 85 peniaga diarahkan berpindah sebelum 3 Julai ini.
Lebih menyedihkan lagi apabila kebanyakan peniaga terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim dan golongan asnaf itu buntu memikirkan nasib mereka selepas ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!