PRN: Semua parti komponen diberi kerusi - Zahid
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kesemua parti komponen termasuk MIC dan MCA diberi jaminan akan diberikan kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menjelaskan secara spesifik sama ada MIC diberikan kerusi di Selangor.
"Ada kerusi yang kita berikan untuk mereka bertanding," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Portal TVET Madani di sini pada Selasa.
"Di seluruh enam negeri, ada kerusi yang kita berikan untuk mereka bertanding," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Portal TVET Madani di sini pada Selasa.
Beliau berkata, pengagihan kerusi itu mengambil kira lokasi bersesuaian selain memberi kebolehmenangan yang tinggi.
"Jika ada sebarang desas-desus mengatakan ada peminggiran di dalam kalangan komponen BN, saya harap ia dipadamkan," ujarnya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, rundingan pengagihan kerusi antara BN dan PH hampir dimuktamadkan.
Menurutnya, rundingan telah dibuat beberapa kali melibatkan BN dan PH, bukannya di antara parti yang bergabung.
"Bagi (kerusi) rakan-rakan parti di dalam komponen PH, kita sudah serahkan kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden parti masing-masing untuk menentukan," jelasnya.
Beliau berkata, perbincangan seterusnya untuk memuktamadkan rundingan tersebut dijangka akan dibuat dalam masa terdekat.
"Bila sahaja waktu sesuai untuk memuktamadkannya, saya yakin pada tarikh yang akan ditentukan oleh Anwar," kata Ahmad Zahid.
Terdahulu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan menafikan bahawa parti itu akan diperuntukkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Katanya sehingga kini parti itu tidak dijanjikan mana-mana kerusi untuk bertanding di Selangor walaupun meminta DUN Sentosa namun kerusi tersebut dikekalkan kepada PKR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!