Individu ugut cederakan pendakwah bebas ditahan
KANGAR - Seorang individu yang mengugut untuk mencederakan pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu diberkas polis di Brickfields, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, penahanan suspek terbabit berikutan tindakannya menyebarkan video perbualan antara beliau dan Muhammad Zamri Vinoth yang juga Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia negeri, selain turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pendakwah bebas itu.
“Suspek yang berumur 34 tahun dan bekerja sebagai pengurus acara direman dua hari bermula hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Noor Mushar berkata, suspek ditahan susulan laporan polis dibuat Muhammad Zamri Vinoth di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar dua hari lepas.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut,” katanya.
Khamis lepas, Muhammad Zamri Vinoth terlihat satu hantaran di laman Facebook menggunakan nama Funkyshankar yang memuat naik rakaman perbualan beliau bersama suspek selain mengandungi ugutan dan mengherdik beliau.
Suspek turut meminta alamat pengadu bagi membolehkan suspek mencederakan beliau.
Noor Mushar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Baru-baru ini, seorang individu lelaki yang turut mengugut dan berniat mencederakan sehingga parah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di laman Facebooknya, diberkas di Gelugor, Pulau Pinang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!