Tiket pengangkutan awam laris menjelang sambutan Aidiladha

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengangkutan awam kekal menjadi pilihan rakyat Malaysia sebagai mod pengangkutan untuk bergerak pulang ke kampung halaman apabila tinjauan mendapati jualan tiket laris menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada Khamis ini (29 Jun).

Pengurus Kanan Operasi TBS, Faizal Redza Redzuan berkata, bagi sambutan Aidiladha tahun ini bermula 23 Jun hingga 2 Julai nanti, pihaknya telah menyediakan kira-kira 218,000 tiket bagi perjalanan ke seluruh Semenanjung Malaysia dan setakat ini sebanyak kira-kira 180,000 tiket telah pun terjual.

Beliau berkatam, seperti kelaziman penjualan tiket bagi perjalanan menuju ke Pantai Timur hampir 100 peratus telah terjual manakala perjalanan ke utara dan selatan, masing-masing menunjukkan peratusan jualan 80 peratus dan 60 peratus.

"Kita sedia maklum apabila musim perayaan TBS menjadi tempat tumpuan kerana TBS menyediakan hampir 147 destinasi ke seluruh Semenanjung dengan 119 syarikat bas menyediakan perkhidmatan.

"Oleh itu, saya nasihatkan supaya orang ramai tidak menunggu pada saat akhir kerana kita sedia maklum permintaan untuk tiket sangat tinggi,” katanya ketika ditemui di TBS pada Selasa.

Faizal Redza berkata, walaupun kebanyakan tiket telah hampir habis dijual sebanyak enam operator bas ekspres telah mengambil bahagian untuk menyediakan bas tambahan dengan tambahan sebanyak 20 perjalanan sehari.

Beliau berkata, bahawa tiada kenaikan tambang akan dikenakan kepada para penumpang dan pihak TBS serta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan sentiasa memantau keadaan dan kadar tambang yang diberikan oleh operator bas ekspres.

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan ia telah menyediakan tambahan empat unit tren elektrik (ETS) bagi musim perayaan Aidiladha tahun ini bagi laluan KL Sentral - Butterworth - KL Sentral, KL Sentral - Padang Besar - KL Sentral.

Tren tambahan terbabit menawarkan sebanyak 7,560 tiket bagi tarikh 27 Jun sehingga 2 Julai dengan berbaki sebanyak 940 tiket sahaja setakat hari ini.

"Untuk tiket bertarikh 29 Jun 2023, KTMB menawarkan sebanyak 24,634 tiket merangkumi perkhidmatan ETS, KTM Intercity dan Shuttle Tebrau (JB Sentral - Woodlands -JB Sentral). Tiket-tiket bertarikh 29 Jun kini hanya berbaki 5,888 sahaja,” menurut kenyataan itu.

KTMB turut menyediakan empat perkhidmatan tren Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) ke Pantai Timur yang menawarkan sebanyak 1,864 tiket bagi laluan KL Sentral - Tumpat - KL Sentral dan tiket bagi perjalanan pertama ELA telah pun habis dijual.

"Berikutan sambutan yang amat menggalakkan, KTMB telah menambah dua perkhidmatan tren ELA yang menawarkan 952 tiket dan masih berbaki 324 tiket.

"Tarikh bagi perjalanan ELA yang kedua ini adalah pada 27 Jun (Selasa) dari Stesen KL Sentral - Tumpat dan akan berlepas pada jam 11 malam. Perjalanan pulang dari Stesen Tumpat - KL Sentral adalah pada 2 Julai (Ahad), jam 6 petang,” menurut kenyataan itu.

Di samping itu, KTMB turut menggesa agar penumpang memakai pelitup muka sepanjang berada di dalam tren untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19 selain turut menyarankan hadir sekurang-kurangnya 30 minit lebih awal di stesen bagi memudahkan urusan dokumentasi di pintu masuk. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!