Produk Jualan Rahmah Aidiladha di lima negeri laris

Orang ramai berpusu-pusu menyerbu khemah jualan bagi mendapatkan bekalan barangan makanan dan keperluan asas untuk perayaan Aidiladha sempena hari terakhir Program Jualan Rahmah di Dataran Paloh 2, Gua Musang, Kelantan pada Selasa. - Foto: Bernama
Orang ramai berpusu-pusu menyerbu khemah jualan bagi mendapatkan bekalan barangan makanan dan keperluan asas untuk perayaan Aidiladha sempena hari terakhir Program Jualan Rahmah di Dataran Paloh 2, Gua Musang, Kelantan pada Selasa. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menjelang perayaan Aidiladha yang disambut pada Khamis, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan keperluan pada harga yang lebih murah, menerusi Program Jualan Rahmah Aidiladha.

Program yang bermula pada 16 Jun dan berakhir esok itu, bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat, malah ramai pelanggan dari luar kawasan juga sanggup datang untuk membeli barangan keperluan seperti ayam, ikan, kerang, kupang, minyak masak, tepung dan gula.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, walaupun program tersebut bermula dari jam 10 pagi hingga 1 petang, namun orang ramai telah mula berbaris seawal jam 8 pagi lagi dan barangan habis dijual dalam tempoh dua jam.

"Program sebegini sangat dinanti-nantikan penduduk setempat dan rata-rata masyarakat sangat berpuas hati dengan barangan yang ditawarkan. Sempena Aidiladha, enam barang asas seperti ayam, daging, ikan, telur ayam, beras dan minyak dijual dengan 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.

Orang ramai mula mengunjungi jualan tersebut seawal pagi bagi mendapatkan barang keperluan harian dengan harga yang berpatutan sempena persiapan sambutan Aidiladha ketika tinjauan di Dewan Cengal Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 24, Shah Alam pada Selasa. - Foto: Bernama
Orang ramai mula mengunjungi jualan tersebut seawal pagi bagi mendapatkan barang keperluan harian dengan harga yang berpatutan sempena persiapan sambutan Aidiladha ketika tinjauan di Dewan Cengal Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 24, Shah Alam pada Selasa. - Foto: Bernama



Sementara itu, suri rumah, Zainun Muda, 68, berkata, program sebegini wajar diteruskan kerana dapat membantu mengurangkan bebanan masyarakat yang ketika ini terbeban dengan kos sara hidup.

"Mak cik ini hanya bergantung dengan anak sahaja, apabila kerajaan buat program sebegini mestilah mak cik tidak mahu lepaskan. Mak cik jimat banyak (berbelanja di program ini), kalau biasa barang macam ini (dua ekor ayam, dua kilo daging dan ikan) mahu dekat RM100, hari ini separuh sahaja,” katanya pada program jualan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga itu di Seksyen 24, Shah Alam pada Selasa.

Pesara, Abdul Karim Kanon, 62, pula berharap jumlah barangan jualan dapat ditambah pada masa akan datang, berikutan ramai tidak berpeluang menikmati barangan Jualan Rahmah kerana datang sedikit lewat.

"Kawasan sini (Seksyen 24, Shah Alam) ramai golongan B40, semua nantikan jualan ini, lebih-lebih lagi Hari Raya Aidiladha jatuh pada lusa, semua nak mencari barangan keperluan,” katanya.

Seorang pengguna, Mashitoh Abu Bakar, 65, dari Taman Impian, Alor Setar berkata, dia sanggup datang ke Pendang, iaitu salah satu lokasi program Jualan Rahmah Aidiladha di Kedah hari ini walaupun sedikit jauh, kerana barangan dijual pada harga berbaloi.

Selain Pendang, 20 lokasi lain Program Jualan Rahman Aidiladha di Kedah antaranya Kuala Kedah, Jerai, Sik, Merbok, Sungai Petani, Baling, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu, melibatkan sejumlah pasar raya dan premis perniagaan.

Pengunjung program Jualan Rahmah Aidiladha dari Malim Nawar, Perak, Salmah Ali, 45, pula berharap jualan sedemikian diteruskan pada setiap masa, bukan hanya pada musim tertentu seperti perayaan sahaja.

"Ini kerana dengan adanya jualan sebegini, ia amat memudahkan saya serta penduduk lain yang tinggal di kawasan kampung, kerana tidak perlu keluar jauh membeli barangan keperluan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Jualan Rahmah Bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah, yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi Helmi.

DUN Tualang Sekah merupakan antara 59 lokasi pelaksanaan Jualan Rahmah Aidiladha di Perak yang bermula 16 Jun hingga esok, dengan pelbagai barangan kering dan mentah dijual kepada orang ramai antaranya ayam, ikan, kerang, kupang, minyak masak, tepung dan gula.

Tinjauan di Johor pula mendapati pasar raya BS Freshmart menjual ayam segar pada harga RM7.49 sen sekilogram (kg), minyak masak paket 1kg serendah RM2, gula putih 1kg (RM2.60 sen) dan sepaket tepung gandum (RM1.99 sen) menerusi program berkenaan, iaitu harga yang lebih murah daripada harga pasaran.

Jualan Rahmah Aidiladha di negeri itu melibatkan semua 56 kawasan DUN, dengan seorang peniaga dalam talian, Nadia Ali, 38, menyifatkan program dapat membantunya meneruskan kelangsungan hidup berikutan pendapatannya yang tidak menentu.

"Berniaga ini ada pasang surutnya, oleh itu apabila ada jualan murah seperti ini dapatlah saya berjimat dengan membeli stok barangan kering seperti beras, tepung dan gula,” kata ibu kepada dua anak itu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan pula merancang meneruskan program itu setiap minggu selepas Hari Raya Aidiladha sehingga Disember berikutan sambutan menggalakkan program itu di negeri berkenaan.

Pengarahnya Azman Ismail berkata setakat ini, KPDN Kelantan telah menjalankan Jualan Rahmah di 45 kawasan DUN, selain bergerak ke setiap daerah bagi memastikan penduduk di kawasan terpencil dapat turut sama menikmati program jualan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!