Bekas penagih jadi mentor bantu penagih lain pulih
SHAH ALAM- Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan program yang memberi peluang kepada bekas penagih menjadi jurulatih atau ‘mentor’ kepada penagih lain kembali ke pangkal jalan.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Profesor Raduwan Idar berkata, program mentor mentee yang dilaksanakan dapat memberi cahaya baru kepada penagih ingin ke kembali pangkal jalan.
“Graduan pada hari ini amat berbeza dengan graduan universiti lain kerana mereka akan menanggung tugas lebih besar untuk membantu penagih mengubah nasib mereka dan keluarga.
“Mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada jurulatih ini untuk menjadi lebih baik sama seperti mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Program tersebut melibatkan 40 peserta dengan tenaga pengajar terdiri daripada pensyarah dari Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) USIM.
Latihan Jurulatih Pemulihan Bertauliah bagi tahun 2023 yang dilaksanakan secara dua siri itu direka khusus kepada mereka yang sudah pulih dan ingin mendapatkan pengetahuan serta kemahiran dalam menangani ketagihan dadah.
Sementara itu, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, inisiatif tersebut bertujuan membantu menambah pendapatan mereka melalui ceramah dan khidmat nasihat.
Ujarnya, program itu juga dapat mengembalikan mereka yang terjebak dengan penagihan dadah untuk kembali ke pangkal jalan dan berusaha menjadi manusia berguna kepada keluarga serta masyarakat.
“Saya juga berharap lebih ramai lagi bekas-bekas penagih dapat ditauliahkan melalui program ini kerana mereka lebih arif dan memahami cara untuk pulih dari ketagihan.
"Saya dimaklumkan ada antara peserta graduasi ini merupakan bekas individu yang terjerumus dengan penagihan dadah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!