Peluang pelajar rasai kehidupan sehari di universiti
PULAU PINANG - Siri Jelajah Kampus UiTM atau empower HERO (Higher Education, Reshaping Outcome) melalui Program empowerNCER Akademik 2023 memberi peluang kepada 1,600 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 dari sekolah-sekolah menengah terpilih di negeri Perak dan Pulau Pinang merasai kehidupan sehari di kampus sebagai pelajar universiti.
Mereka dibawa melawat ke dewan-dewan kuliah, kolej kediaman, perpustakaan serta fasiliti yang terdapat di fakulti-fakulti di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Siri Jelajah kampus yang bermula di UiTM Perak pada 17 Jun lalu dan di UiTM Pulau Pinang pada 20, 21 dan 22 Jun itu diharap menjadi pemangkin untuk pelajar dari keluarga kurang berkemampuan berusaha lebih gigih mencapai keputusan cemerlang.
Program yang dikendalikan oleh Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) UiTM, di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menerusi Program empowerNCER Akademik 2023 ini, antara lainnya bertujuan membantu peserta meningkatkan pencapaian akademik melalui kelas-kelas bimbingan percuma, program sahsiah dan pembentukan keperibadian yang positif.
Dalam ucapan perasmian oleh Timbalan Rektor Penyelidikan, Hubungan Industri, Jaringan Komuniti dan Alumni UiTM Perak, Prof. Madya Dr. Muhamad Abdul Aziz Ab Gani berkata, UiTM komited untuk membawa perubahan lebih baik kepada masyarakat melalui pendidikan malah universiti sentiasa mengalu-alukan program yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat secara umumnya.
Keberhasilan program ini turut diakui oleh pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Idris, Manjung Perak, K Manisha yang gembira menyertai empower HERO.
Sementara itu, guru dari SMK Convent Butterworth Pulau Pinang, Sarina Ishak percaya program sebegini dapat memberi manfaat kepada pelajar terutama semasa sesi perkongsian motivasi.
“Saya harap program ini dapat membantu kecemerlangan pelajar-pelajar dari golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!