Dua kain putih lambang kesamarataan
MAKKAH - Harta, jawatan, rupa paras bukanlah kelebihan yang menjadi ukuran tetapi hanya ketakwaan jua yang dilihat oleh ALLAH SWT.
Ketika menyampaikan khutbah Arafah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, umat Islam diingatkan supaya bersikap rendah diri, membuang sifat takabbur yang bersarang dalam diri.
"Jangan berasa diri kita lebih baik, lebih mulia dan lebih besar berbanding orang lain. Ingatlah bahawa sikap keakuan inilah yang telah mencampakkan iblis dan syaitan menjadi makhluk-Nya yang ingkar ketika disuruh untuk sujud kepada Nabi Adam AS.
"Lihatlah pada diri kita ketika ini. Dengan hanya memakai dua kain putih yang menjadi simbol ketidakmampuan dan penyerahan diri kepada ALLAH SWT dan merupakan lambang kesamarataan kita," ujarnya.
Mohd Na'im berkata, jemaah haji juga perlu bersyukur kerana terpilih untuk berada di Tanah Suci bagi melaksanakan Rukun Islam kelima pada tahun ini.
"Bersyukurlah kita, kerana dalam kalangan berbilion umat Islam di seluruh dunia ini, kita dipilih menjadi tetamu ALLAH dan dapat menunaikan ibadah wukuf di Arafah yang merupakan puncak bagi ibadah haji.
"Sedarkah kita, ada sahabat-sahabat kita yang sihat tubuh badannya, tetapi belum mampu dari segi kewangan. Ada pula yang mampu dari segi kewangan, tetapi tiada kemampuan dari segi kesihatan," tambahnya.
Katanya lagi, paling penting sekembalinya ke tanah air nanti, jemaah perlu pulang dengan semangat baharu untuk terus istiqamah menjadi hambaNya yang bertakwa, dan menjalani lembaran hidup baharu yang suci daripada dosa dan noda.
"Bersegeralah memohon keampunan dan keredaan ALLAH SWT. Waktu-waktu mustajab yang ada ini janganlah dipersiakan dan dibiarkan berlalu pergi.
"Selagi nadi kita masih berdenyut, nyawa kita masih ada. Pohonlah keampunan kepadaNya. Jika ditakdirkan kita dijemput Ilahi sekalipun, kita pergi dalam keadaan berguguran dosa-dosa kita," katanya.
Sementara itu, selepas selesai Khutbah Arafah, jemaah haji melaksanakan solat fardu Zohor dan Asar (jamak takdim secara tamam) dan disusuli dengan talbiah dan zikir.
Wukuf di Arafah adalah kemuncak haji yang bermula pada waktu Zohor, 9 Zulhijjah sehingga masuk Subuh 10 Zulhijjah di mana jemaah haji seluruh dunia memanfaatkan waktu tersebut untuk memohon keampunan ALLAH.
Terdahulu, Mohd Na'im yang diiringi Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman sempat melakukan lawatan di sekitar khemah penginapan jemaah.
Beliau bertanya khabar keadaan jemaah haji Malaysia dan mendapatkan maklum balas mereka sepanjang berada di Tanah Suci.
Beliau turut mengunjungi beberapa jemaah yang uzur dan sakit di khemah khas yang menyediakan perkhidmatan Program Prihatin Tetamu Ar Rahman (Peneman) untuk memudahkan urusan mereka.
Perkhidmatan itu telah dilaksanakan sejak lebih 10 tahun lepas oleh TH dan pada tahun ini seramai 46 jemaah dibenarkan mendapat perkhidmatan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!