Kemuncak ibadah haji

Perhimpunan Agung ini adalah kemuncak ibadah haji i yang disifatkan terbesar dalam sejarah selepas Arab Saudi melonggarkan sekatan ketat berikutan pandemik Covid-19 pada 2020. - Foto: AFP
Perhimpunan Agung ini adalah kemuncak ibadah haji i yang disifatkan terbesar dalam sejarah selepas Arab Saudi melonggarkan sekatan ketat berikutan pandemik Covid-19 pada 2020. - Foto: AFP
A
A
A

MINA - Lebih 2.5 juta jemaah dari kira-kira 160 negara membanjiri Arafah pada Selasa untuk melaksanakan ibadah wukuf yang merupakan salah satu daripada rukun haji.

Perhimpunan Agung itu adalah kemuncak ibadah haji untuk musim pada tahun ini yang disifatkan terbesar dalam sejarah selepas Arab Saudi melonggarkan sekatan ketat berikutan pandemik Covid-19 pada 2020.

Suhu pada Isnin mencecah sehingga 46 darjah Celsius yang turut memberi cabaran besar kepada para jemaah yang berjalan kaki dari kota suci Makkah ke Mina.

Jemaah dari Mesir, Tasneem Gama berkata, ia merupakan pengalaman yang sukar digambarkan.

"Menjadi tetamu ALLAH SWT adalah satu anugerah terindah yang tiada ternilai. Saya amat bersyukur," kata guru berusia 35 tahun itu yang mengerjakan Rukun Islam Kelima itu secara bersendirian tanpa kehadiran mahram lelaki setelah syarat tersebut dilonggarkan pada 2021.

Pada tahun ini, juga had umur maksimum juga diberi kelonggaran, sekali gus memberi peluang kepada golongan warga emas untuk menyahut panggilan Baitullah.

Bagi jurutera Amerika, Ahmed Ahmadine, 37, beliau menyifatkan peluang untuk menunaikan haji adalah detik paling berharga dalam hidupnya.

"Keluarga dan rakan saya turut mengirimkan doa mereka. Kesempatan seperti ini tidak akan datang dua kali," ujarnya.

Pihak berkuasa turut melakukan persediaan termasuk keadaan di sekitar kawasan itu diawasi beberapa helikopter untuk memastikan kelancaran ibadah tersebut berikutan ibadah wukuf di Arafah merupakan cabaran fizikal terbesar buat para jemaah di tengah-tengah cuaca panas terik.

Selain itu, ribuan petugas kesihatan sentiasa bersiap sedia untuk kes seperti strok haba dan keletihan melampau terutamanya sekitar jam 12 tengah hari hingga 3 petang (waktu tempatan).

Selepas matahari terbenam, kumpulan jemaah tersebut akan bergerak secara berperingkat untuk bermalam Muzdalifah yang terletak antara Arafah dan Mina.

Para jemaah akan melaksanakan ibadah melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah (Rabu) dan disusuli ketiga-tiga jamrah; Kubra, Sughra dan Wusta pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Selepas selesai melontar pada 13 Zulhijjah, para jemaah akan kembali semula ke Makkah bagi melengkapkan ibadah tawaf dan saie serta bertahalul. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!