Apa di sebalik Belanjawanku
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, melancarkan Panduan Belanjawanku untuk Individu dan Keluarga di Malaysia 2022/2023 baru-baru ini.
Turut diperkenalkan adalah Aplikasi Mobil Belanjawanku yang menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan minimum untuk pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan untuk isi rumah yang berbeza.
Bagi mengetahui secara jelas apakah yang perlu anda tahu mengenai Belanjawanku ini, ikuti wawancara khas Sinar Harian bersama Pengarah SWRC, Profesor Datuk Dr. Norma Mansor.
SINAR HARIAN: Apa yang boleh Prof Datuk jelaskan mengenai Belanjawanku, apakah kandungan dan pengisiannya yang perlu orang ramai tahu?
DATUK DR. NORMA: Belanjawanku adalah satu bentuk panduan untuk orang ramai merancang perbelanjaan peribadi dan keluarga. Panduan ini berbentuk anggaran perbelanjaan bulanan minimum bagi individu atau keluarga. Belanjawanku memaparkan anggaran perbelanjaan minimum bagi pelbagai jenis barangan yang merangkumi keperluan asas seperti makanan, perumahan, pengangkutan, utiliti, kesihatan, penjagaan diri, penjagaan anak dan perbelanjaan sesekali atau adhoc. Panduan ini juga melibatkan perbelanjaan yang bukan keutamaan seperti perbelanjaan penglibatan sosial dan perbelanjaan pilihan (discretionary) dan juga panduan simpanan peribadi.
Ia boleh digunakan oleh sembilan kategori isi rumah yang berbeza seperti bujang, pasangan berkahwin, warga emas dan juga ibu/bapa tunggal. Panduan Belanjawanku ini meliputi hampir semua ibu negeri di Malaysia, kecuali Kangar (Perlis) dan Wilayah Persekutuan Labuan. Bagi Kangar, anggaran minimum adalah berdasarkan kos perbelanjaan di Alor Setar memandangkan jarak antara kedua-dua ibu negeri ini adalah berdekatan.
Manakala perbelanjaan di Labuan adalah hampir sama dengan Lembah Klang. Belanjawanku dibangunkan di 12 bandar-bandar pilihan di Malaysia termasuk Lembah Klang bagi mencerminkan kos sara hidup yang berbeza di setiap negeri. Perbelanjaan yang berbeza ini akan dapat membantu individu dan keluarga dalam merancang kewangan sekiranya bercadang atau perlu berpindah ke bandar lain.
Bagaimanakah idea Belanjawanku ini dicetuskan melalui KWSP?
DATUK DR. NORMA: Matlamat utama KWSP menghasilkan Belanjawanku adalah untuk membantu menyelesaikan masalah perancangan kewangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Umum mengetahui, negara kini berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran seperti kadar celik kewangan yang rendah di kalangan rakyat Malaysia, masalah kebankrapan di kalangan belia dan diburukkan lagi oleh kenaikan kos sara hidup. Hal ini menyebabkan timbulnya masalah seperti mempunyai simpanan yang rendah, kadar keberhutangan yang tinggi, terutama dalam kalangan belia. Oleh itu, Belanjawanku dibangunkan sebagai panduan dalam merancang perbelanjaan bulanan dengan matlamat untuk mencapai taraf hidup yang wajar dan bermartabat (decent and dignified living), dapat melibatkan diri dalam aktiviti bersama komuniti dan keluarga, serta menjalani kehidupan selepas bersara dengan selesa.
Siapakah panel-panel yang terlibat sebagai pasukan penyelidik perancangan kewangan Belanjawanku ini?
DATUK DR. NORMA: Panel-panel yang terlibat sebagai pasukan penyelidik perancangan kewangan Belanjawanku terdiri daripada pensyarah-pensyarah berpengalaman dari Universiti Malaya dengan latar belakang ekonomi, statistik serta pakar-pakar industri dari institusi kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia, KWSP, Badan Bukan Kerajaan dan yang paling penting ialah wakil-wakil daripada isi rumah terpilih.
Menyentuh tentang KWSP, mungkin ia hanya dilihat sebagai institusi yang menguruskan simpanan kewangan pekerja melalui potongan gaji. Namun tidak ramai sedar atau tahu peranan KWSP sebagai pengurus kewangan yang ideal. Apa yang Prof Datuk boleh katakan tentang perkara ini?
DATUK DR. NORMA: Tidak ramai yang mengetahui bahawa KWSP turut memberikan bimbingan dan nasihat kewangan kepada ahli bagi membentuk asas kesejahteraan kewangan yang kukuh dan kualiti hidup yang lebih baik dalam jangka panjang. Panduan Belanjawanku telah diguna pakai oleh pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP untuk memberi panduan kepada ahli dalam merancang kewangan serta menjalani kehidupan selepas bersara dengan selesa. Pada pandangan saya, inisiatif daripada KWSP dan SWRC dalam membangunkan Belanjawanku menjadikan peranan KWSP lebih dikenali dengan meluas oleh masyarakat Malaysia. Tambahan pula, aplikasi Belanjawanku yang dibangunkan oleh KWSP merupakan salah satu platform yang amat bermanfaat bagi pengguna untuk merekod dan mengawal perbelanjaan mereka.
Berbalik kepada Belanjawanku, bagaimana ia boleh menjadi capaian penting kepada umum?
DATUK DR. NORMA: Belanjawanku menjadi capaian penting kepada umum dalam memupuk tabiat kesejahteraan kewangan yang baik. Ini selaras dengan hasrat kerajaan yang digariskan dalam pelaksanaan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 (Jaringan Pendidikan Kewangan), yang menetapkan matlamat untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dan memupuk tabiat dan sikap yang bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan.
Orang ramai boleh menjadikan Belanjawanku sebagai panduan dalam menguruskan perbelanjaan harian dengan mengenal pasti terlebih dahulu bandar, tempat kediaman dan kategori isi rumah mereka. Seterusnya menyemak anggaran belanjawan mengikut negeri serta menggunakan anggaran belanjawan sebagai garis panduan untuk perbelanjaan bulanan. Orang ramai juga boleh merujuk anggaran bagi kategori lain untuk perancangan kewangan masa depan.
Apa nasihat Prof Datuk kepada setiap golongan masyarakat agar memanfaatkan program Belanjawanku ini?
DATUK DR. NORMA: Setiap individu dan keluarga perlu mempunyai perancangan kewangan yang bijak supaya dapat mengukuhkan kewangan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka serta menghadapi situasi luar jangka. Oleh itu, Belanjawanku dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian bagi merancang kewangan dengan lebih baik. Belanjawanku boleh diguna pakai untuk semua golongan pendapatan kerana ia memberi panduan perbelanjaan bagi mencapai taraf hidup yang wajar. Walau bagaimanapun, individu boleh berbelanja melebihi jumlah anggaran dalam Belanjawanku sekiranya dia mampu.
Bagaimana Belanjawanku dipromosikan sebagai wadah yang membantu masyarakat umum?
DATUK DR. NORMA: Terdapat banyak wadah perancangan kewangan yang ada di luar sana. Kebanyakannya diguna pakai untuk perancangan kewangan yang berdasarkan pendapatan dan peraturan umum (rule of thumb). Keistimewaan Belanjawanku selain daripada ‘rule of thumb’ ialah memberikan panduan jumlah perbelanjaan yang diperlukan, dan memberi peringatan kepada pengguna sekiranya perbelanjaan bagi kategori tertentu melebihi cadangan Belanjawanku. Tetapi sekiranya seseorang itu berbelanja lebih daripada yang dicadangkan, tiada halangan untuknya asalkan berkemampuan. Pada masa sama, ia boleh membantu individu membezakan antara keperluan dan kehendak, malah sekiranya ada wang lebihan ia boleh ditujukan untuk menambahkan simpanan.
Apakah platform kempen yang digunakan, adakah ia melibatkan sesi penerangan umum?
DATUK DR. NORMA: Bagi memastikan lebih ramai mengetahui mengenai panduan Belanjawanku, ia secara rasminya telah dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli dan telah mendapat liputan yang meluas dalam media massa. Hal ini membolehkan orang ramai lebih cakna berkenaan Belanjawanku. Pihak SWRC juga ada memberi penerangan umum kepada orang ramai serta memuat naik kandungan yang berkaitan Belanjawanku di media sosial. Panduan Belanjawanku boleh dimuat turun di laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my atau laman sesawang Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Universiti Malaya di https://swrc.um.edu.my secara percuma. Aplikasi Belanjawanku pula boleh dimuat turun di App Store (iOS) atau Google Play Store (Android).
Akhir sekali, apa harapan Prof Datuk dalam memastikan Belanjawanku mampu memimpin masyarakat menguruskan kewangan dan perbelanjaan demi kelangsungan kehidupan mereka?
DATUK DR. NORMA: Saya harap pengetahuan dan aplikasi perbelanjaan bagi merancang perbelanjaan ini dapat memperkasakan lagi orang ramai sebagai pengguna. Besar harapan saya juga supaya Belanjawanku dapat dijadikan sebagai panduan bagi individu mencapai kesejahteraan kewangan diri dan keluarga. Kesejahteraan kewangan adalah merupakan satu komponen yang penting dalam kesejahteraan hidup yang merangkumi kesihatan fizikal dan mental serta, hubungan kekeluargaan. Dengan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu, bebanan daripada kos sara hidup yang tinggi amat memberi kesan kepada kesejahteraan kewangan yang seterusnya boleh membawa kepada masalah sosial yang mengganggu individu dan keluarga. Justeru, amatlah penting untuk kita merancang kewangan dengan baik dan berhemah. Belanjawanku dapat dijadikan sebagai panduan dalam merancang perbelanjaan bulanan serta mempunyai simpanan bagi kegunaan semasa persaraan dan situasi luar jangka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!