Dewan Negara lulus usul laporan Ketua Audit Negara 2021
KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Selasa meluluskan usul Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 bagi meneliti segala isu dibangkitkan dalam laporan itu antaranya melibatkan ketirisan, ketidakpatuhan kepada peraturan dan kelemahan dalam perancangan supaya tidak berulang.
Usul dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said itu diluluskan selepas dibahaskan 19 senator.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, pihak Jabatan Audit Negara (JAN) akan meneliti isu beberapa bangunan kerajaan yang tidak dilengkapi kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU).
"Dalam pelaksanaan pengauditan projek melibatkan bangunan kerajaan, JAN sentiasa mengambil kira senarai semak berkaitan ketetapan kemudahan untuk golongan OKU seperti digariskan dalam undang-undang dan peraturan yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara 2021 di Dewan Negara pada Selasa.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika menggulung perbahasan usul itu bagi kementerian berkenaan berkata, sejumlah 8.5 juta dos vaksin Covid-19 pelbagai jenama dilupuskan di fasiliti kementerian tersebut, sehingga 1 Jun 2023.
Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli ketika mencelah bertanya sama ada strategi perancangan pembelian vaksin bagi wabak itu dengan meletakkan sasaran 100 peratus penduduk menerima vaksin adalah wajar, Dr Zaliha bersetuju dengan perkara dibangkitkan.
"Kita memang membuat unjuran sebegitu sebab itu kita ada lebihan, kita membuat perolehan itu, kita lebihkan (vaksin) untuk memastikan sekurang-kurangnya pada ketika itu kita capai 80 peratus daripada penduduk (divaksin) bagi mencapai imuniti kelompok," katanya.
Selain itu, beliau berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), yang ditubuhkan selaras mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Okt 2021, adalah jawatankuasa utama dalam perolehan dan pelaksanaan program imunisasi vaksin Covid-19.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah pula ketika menggulung perbahasan usul bagi kementeriannya berkata, inisiatif pendigitalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diperluaskan ke lebih banyak kategori kenderaan secara berfasa.
Beliau berkata, ia meliputi kategori kenderaan individu milik syarikat, kenderaan komersial dan kenderaan milik bukan warganegara.
"Inisiatif pendigitalan JPJ yang merangkumi Lesen Kenderaan Motor (eLKM) dan Lesen Memandu Malaysia (eLMM) di mana tiada lagi kad fizikal yang dikeluarkan kepada pemegang lesen.
"Bagi fasa pertama semua pemilik kenderaan persendirian individu warganegara Malaysia adalah dikecualikan daripada mempamerkan dokumen LKM dan LMM fizikal dan dibenarkan untuk mengemukakan salinan digital eLKM dan eLMM melalui aplikasi MyJPJ,” katanya.
Beliau berkata, dengan pelaksanaan inisiatif itu, penggunaan dokumen fizikal adalah secara minimum bagi kategori tertentu sahaja.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, wujudnya transaksi Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) kepada pesawah yang telah meninggal dunia kerana terdapat waris yang mengusahakan sawah berkenaan dan tidak melaporkan kematian pesawah tersebut.
"Kesemua rekod pesawah yang meninggal dunia dilaporkan dalam LKAN telah dinyah aktif dalam sistem dan waris diminta untuk mendaftarkan semula akaun untuk tujuan pembayaran SSHP,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu.
Ini kali pertama Laporan Ketua Audit Negara dibahaskan di Dewan Negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!