Laos berminat jalin kerjasama pensijilan halal Jakim - PM

Anwar (kiri) ketika mengadakan mesyuarat dua hala dengan Siphandone di Pejabat Perdana Menteri Laos pada Selasa. - Foto: Bernama
Anwar (kiri) ketika mengadakan mesyuarat dua hala dengan Siphandone di Pejabat Perdana Menteri Laos pada Selasa. - Foto: Bernama
A
A
A
VIENTIANE - Laos berminat menjalin kerjasama dengan Malaysia menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendapatkan pensijilan halal untuk produk keluaran negara itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap pada sidang akhbar sebagai penutup lawatan rasmi dua hari ke Laos, Perdana Menteri berkata, perkara itu dinyatakan oleh rakan sejawatnya Dr Sonexay Siphandone dalam pertemuan kedua-dua pemimpin pada Selasa.

"Pensijilan ini akan diselenggara oleh Jakim dan beliau sangat tertarik dan akan arah pegawainya untuk bekerjasama dengan Jakim bagi mengembangkan industri halal di Laos,” katanya kepada media Malaysia.

Pada hari terakhir lawatan rasmi beliau ke Laos, Anwar mengadakan mesyuarat dua hala dengan Siphandone di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran dua memorandum kerjasama serta masing-masing satu memorandum persefahaman dan surat niat antara syarikat Malaysia dan Laos sempena lawatan itu yang membabitkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mutiara Perlis Sdn Bhd (MPSB) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Kerjasama antara TNB dan Electricite du Lao (EDL) untuk menerokai potensi tenaga boleh baharu hidro di Laos dijangka memberikan pulangan RM460 juta hingga RM2.3 bilion setahun kepada TNB mulai 2025.

Anwar berkata, rakan sejawatnya juga memberi jaminan akan meneruskan sokongan kepada projek-projek yang membabitkan syarikat Malaysia di Laos.

"Walaupun ini adalah satu lawatan singkat tapi sangat bermanfaat kerana saya berpeluang berjumpa dengan Presiden Laos (Dr Thongloun Sisoulith) bagi mengucapkan terima kasih untuk kerjasama projek hidro.

"Perdana Menteri Siphandone pula beri kerjasama yang sangat baik untuk tingkat hubungan perdagangan dan hubungan dua hala,” katanya.

Projek tenaga hidro Don Sahong di selatan Laos merupakan penyumbang terbesar pelaburan langsung asing Malaysia di negara tersebut iaitu lebih AS$400 juta.

Perdana Menteri juga berkata, lawatan sulung beliau ke negara itu berjaya membawa manfaat kepada Malaysia dalam menjalin hubungan dua hala yang lebih erat dengan negara serantau terutama menjelang Kepengerusian ASEAN 2024 oleh Laos.

Lawatan rasmi Anwar adalah yang pertama untuk pemimpin Malaysia sejak 2016. Malaysia dan Laos menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1 Julai 1966. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!