RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga akan dibentang tahun ini

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga akan dibentang di Parlimen pada sesi akan datang, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, rang undang-undang itu bertujuan memastikan kecekapan tenaga dan mengawal selia amalan konservasi.

"Ini juga penting bagi membantu pengguna mengguna pakai lebih banyak peralatan dan perkakasan yang lebih cekap serta mengurus penggunaan tenaga dengan lebih baik bagi mengurangkan pembaziran,” katanya.

Selain itu, Nik Nazmi berkata pihaknya kini membangunkan Akta Perubahan Iklim yang penting untuk mengurangkan perubahan iklim secara berkesan sambil menyesuaikan diri dengan perubahan yang ditimbulkan oleh kesannya.

"Saya komited sepenuhnya untuk memuktamad dan melaksanakan rang undang-undang ini bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan meminimumkan kesan alam sekitar daripada pembangunan ekonomi kita,” katanya pada Persidangan Perbankan Malaysia 2023 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, Akta Perubahan Iklim yang dicadang bakal menyediakan rangka kerja komprehensif kepada kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil untuk berganding bahu bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) serta menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!