JPJ Selangor keluarkan 264 saman kepada penunggang motosikal

Khairul Khar (tengah) mengukur plat pendaftaran sebuah motosikal ketika Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 Peringkat Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan pada malam Selasa. - Foto: Bernama
Khairul Khar (tengah) mengukur plat pendaftaran sebuah motosikal ketika Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 Peringkat Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan pada malam Selasa. - Foto: Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Sebanyak 264 saman dikeluarkan terhadap 117 penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dalam Op Hari Raya Aidiladha 2023 (OP HRAA) di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, setakat jam 10 malam Selasa

Dalam operasi yang memberikan tumpuan terhadap penunggang motosikal itu, sebanyak 412 kenderaan diperiksa bermula jam 8 malam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, antara kesalahan yang dilakukan penunggang motosikal ialah tidak mempunyai lesen memandu (122), tiada cukai jalan atau telah tamat tempoh (95) dan kesalahan melibatkan nombor pendaftaran (27).

"Sebanyak 13 motosikal telah disita dalam operasi hari ini. Malam ini kita memberikan fokus terhadap penunggang motosikal. Ini adalah berdasarkan rekod kemalangan maut, pengguna motosikal bagi tempoh 2010-2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain (melebihi 60 peratus)," katanya dalam sidang akhbar selepas hadir ke OP HRAA di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan.

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat pemeriksaan ketika Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 Peringkat Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan. - Foto: Bernama
Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat pemeriksaan ketika Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 Peringkat Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan. - Foto: Bernama

Beliau berkata, pada operasi musim perayaan Aidilfitri (OP HRA 2023) lepas, JPJ Selangor mengeluarkan 5,289 notis saman dan sebanyak 2,161 notis saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal iaitu kategori pengangkutan tertinggi melakukan kesalahan.

Menurut Khairul, pada Selasa pihaknya turut melakukan pemeriksaan dan penyamaran dengan menaiki kenderaan awam seperti bas di terminal bas utama bermula jam 7 pagi hingga 11 malam.

"Sebanyak empat notis dikeluarkan terhadap empat pemandu bas di Muar, Johor; Teluk Intan di Perak; Seremban, Negeri Sembilan dan Melaka atas kesalahan seperti memandu di lorong kanan secara berterusan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu," katanya.

Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan menyusun motor yang disita ke dalam sebuah lori pada Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 Peringkat Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan pada malam Selasa. - Foto: Bernama
Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan menyusun motor yang disita ke dalam sebuah lori pada Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 Peringkat Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan pada malam Selasa. - Foto: Bernama



Beliau berkata, operasi pada malam Selasa turut disertai oleh Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar, dan lima penunggang motosikal ditahan kerana positif ujian saringan air kencing serta tiga notis dikeluarkan akibat bunyi bising dari kenderaan.

Sementara itu, beliau berkata, objektif OP HRAA yang dilaksanakan selama empat hari bermula 27 hingga 28 Jun (sebelum Hari Raya Aidiladha) dan 1 hingga 2 Julai selepas perayaan Aidiladha adalah untuk memastikan kelancaran pergerakan perjalanan pengguna jalan raya dengan lebih selamat.

"Ia juga bagi memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam bagi peningkatan keselamatan, kualiti dan keboleharapan perkhidmatan kepada pengguna selain menguatkuasakan pematuhan peraturan dengan memberi tumpuan terhadap sembilan kesalahan utama yang dianggap punca kemalangan.

"Antara aktiviti penguatkuasaan yang ditetapkan sepanjang OP HRAA ialah melakukan rondaan di lebuh raya dan kawasan kerap kemalangan (termasuk black spot), mengadakan operasi motosikal dan penyamaran bas dan pemeriksaan bas di terminal utama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!