Tanah runtuh di laluan menuju Cameron Highlands
GOPENG - Runtuhan tanah berlaku di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley menuju ke Cameron Highlands, di sini pada Selasa akibat hujan lebat.
Kejadian di laluan FT185 Seksyen 45 sekitar jam 11.25 malam itu mengakibatkan kedua-dua arah terhalang.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, setakat ini, tiada kerosakan melibatkan pengguna jalan raya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, jumlah aliran air permukaan yang tinggi akibat hujan lebat menyebabkan sisa tanah runtuh ke bahagian jalan.
"Runtuhan menyebabkan jalan tidak dapat dilalui oleh kenderaan.
"Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan, cerun sedia ada dalam proses pembaikan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, kerja pembersihan telah pun dilaksanakan di lokasi kejadian sebaik laporan kes itu diterima.
"Sekitar jam 1.34 pagi tadi, satu lorong telah dibersihkan dan dibuka untuk laluan kenderaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!