Ryan Seacrest kini hos 'Wheel of Fortune' ganti Pat Sajak
PERSONALITI popular antarabangsa, Ryan Seacrest telah menandatangani kontrak sebagai hos program 'Wheel of Fortune' berkuat kuasa tahun 2024, umum Sony Pictures Television.
Seacrest yang terkenal sebagai hos American Idol dan pengacara E! News akan menggantikan hos legenda Pat Sajak yang pada bulan lalu mengumumkan keputusannya mengundurkan diri daripada program yang sudah dikendalikannya selama lebih 40 tahun.
Pengumuman ini mengejutkan sebilangan besar peminat game show itu, namun, pengurusan televisyen menjelaskan, berharap perubahan ini akan memberikan nafas baharu kepada 'Wheel of Fortune' di samping dapat menarik perhatian generasi yang lebih muda.
Seacrest telah menunjukkan kebolehannya sebagai hos yang berpengalaman dan memiliki daya tarikan yang luas di dunia hiburan.
Beliau dianggap sebagai pilihan yang tepat untuk membawa rancangan tersebut ke arah dimensi baharu.
Sekalipun menggantikan hos dianggap perubahan besar, namun pihak produksi menegaskan, Sajak akan tetap terlibat dalam 'Wheel of Fortune' sebagai penasihat dan akan berada di belakang tabir untuk menawarkan khidmat nasihat kepada Seacrest.
Seacrest pula secara peribadi menyatakan kegembiraannya untuk bergabung dengan rancangan tersebut dan berharap dapat memenuhi harapan peminat setia 'Wheel of Fortune'.
"Saya berasa sangat rendah iri untuk mengambil alih kedudukan yang ditinggalkan legenda Pat Sajak.
"Apa yang boleh saya katakan kepada seluruh rakyat Amerika, ia merupakan satu kesempatan yang terlalu luar biasa untuk menonton Pat dan Vanna (White) di skrin televisyen untuk selama 40 tahun, yang telah membuatkan kita tersenyum setiap malam dan benar-benar menikmati waktu malam bersama mereka," kata Seacrest dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Seacrest merupakan personaliti media yang disenangi ramai dan sudah bertanggungjawab mengendalikan program realiti American Idol selama 21 musim.
Beliau juga mengendalikan siaran di radio dalam segmen popular On Air With Ryan Seacrest. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!