Bapa, bayi maut dalam nahas kereta dengan lori tangki

Anggota bomba dari BBP Rompin membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta selepas nahas dengan lori tangki di Jalan Rompin Endau -Kampung Batu 8 Pontian, Rompin awal pagi Rabu.
Anggota bomba dari BBP Rompin membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta selepas nahas dengan lori tangki di Jalan Rompin Endau -Kampung Batu 8 Pontian, Rompin awal pagi Rabu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Seorang peniaga bersama bayi lelakinya berusia 10 bulan maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki minyak dalam kemalangan di Kilometer 145 Jalan Kuantan-Johor Bahru, di sini awal pagi Rabu.

Dalam nahas kira-kira jam 1.15 pagi itu, mangsa, Azirul Azeem Mazri,30, beralamat dari Pasir Gudang Johor disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Bayinya, Muhammad Adhwa Azirul Azeem yang turut parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, isteri mangsa, Farah Nasuha Johari, 30, yang bertugas sebagai guru dilaporkan selamat.

Menurutnya, pemandu lori tangki, Mohamad Fahmi Che Ali, 30, dari Kuala Terengganu, cedera ringan.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sekeluarga yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori tangki minyak yang datang dari arah Kuantan menghala ke Johor Bahru," katanya.

Mohd Azahari berkata, akibat mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli berkata, lapan anggota bomba termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin ke lokasi untuk bantuan menyelamat selepas menerima maklumat berhubung kejadian.

Menurutnya, pemandu kereta yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!