Arafah #QuranHour simbolik perhimpunan terbesar umat Islam
SHAH ALAM - Program Road to Arafah #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang disiarkan secara harian sejak 15 Jun lalu berakhir hari ini sempena ibadah wukuf di Padang Arafah, Makkah.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program yang mengangkat Surah Al-Insan dan Al-Hajj itu dilakukan secara interaksi bersama al-Quran melalui baca, faham dan amal dengan tema 'Syukur Membina Taqwa'.
"Kedua-dua surah ini mengandungi pelbagai pesanan menarik serta ayat sajdah yang mengajak manusia untuk sujud, bersyukur serta bertakwa kepada ALLAH SWT.
"Bacaan ayat dari Surah Al-Insan sempena Arafah #QuranHour ini diharap dapat membawa kesan kepada jiwa dan minda agar menyelaras kembali cara fikir bahawa kita adalah hamba yang dahulunya tidak wujud.
"Pentingnya menyelaras kerangka fikir kerana ia dapat membantu diri agar tidak sombong kerana sikap itu pintu kejahilan dan kehinaan," katanya ketika ditemui selepas program Arafah #QuranHour pada Rabu.
Arafah #QuranHour menampilkan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dan Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi sebagai pentadabur manakala Naib Johan Majlis Tilawah Al-Quran Selangor 2023, Faris Hadi Taufik dan Syeikh Rami As-Sousi dari Palestin sebagai qari jemputan.
Selian itu, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub tampil berkongsi pengalaman dalam segmen 'Pesan Tokoh'.
Program tersebut disiarkan secara langsung di Faceebok QuranHour dan Sinar Islam Plus pada pukul 9 pagi dan siaran ulangan pukul 5.30 petang.
Dalam pada itu Marhaini memaklumkan, Surah Al-Hajj turut dilipih bagi memberi pengajaran kepada umat Islam untuk bertaqwa kepada ALLAH sekali gus meyakini kewujudan hari kiamat.
"Perjalanan haji dan berhimpunnya manusia secara khusus di Padang Arafah memberi gambaran kepada seseorang bagaimana situasi dan keadaan huru-hara apabila seluruh manusia berkumpul di mahsyar.
"Dengan berpakaian ihram tidak mengira lelaki, wanita, tua, muda, kaya, miskin, sihat atau uzur, ia juga menunjukkan pada waktu itu kita bukanlah sesiapa kecuali seorang hamba," katanya.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, lokasi Arafah #QuranHour di Malaysia diadakan di Masjid Sultan Muhammad II, Kota Bharu, Kelantan yang turut dihadiri oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
"Sebelum ini lokasi utama bagi penganjuran siri program #QuranHour hanya di Lembah Klang namun kali ini, kita memilih Kelantan sebagai permulaan untuk program di luar kawasan.
"Kelantan dikenali dengan jolokan 'Serambi Makkah' dan sebab itu juga kita memilih negeri Cik Siti Wan Kembang itu untuk menjadi lokasi utama Arafah #QuranHour tahun ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!