Aminuddin menghadap Tunku Muhriz mohon perkenan tarikh bubar DUN
SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menghadap Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Hinggap di sini pagi Rabu bagi memohon perkenan baginda tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Terdahulu, Aminuddin yang tiba pada jam 10 pagi sempat melambai kepada petugas media yang berkumpul di hadapan pintu pagar utama sejak jam 9 pagi tadi.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu akan mengadakan sidang media setelah selesai menghadap Yang Dipertuan Besar.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Muhamad Nahar Mohd Sidek dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Mohd Amin Ludin.
Aminuddin dilaporkan telah mencadangkan kepada Tuanku Muhriz tarikh pembubaran pada Jumaat ini (30 Jun) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Persidangan DUN Negeri Sembilan yang pertama adalah pada 2 Julai 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 dan mandat lima tahun sepatutnya berakhir pada 1 Julai ini.
Sepanjang penggal itu, satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan iaitu DUN Rantau berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan penyandang kerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November 2018, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah.
Timbalan Presiden UMNO itu mempertahankan kerusi tersebut dengan kemenangan majoriti 4,510 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon PH, Dr S. Streram dan dua calon Bebas iaitu suri rumah, R. Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin, pada PRK berkenaan yang diadakan 13 April 2019.
Negeri Sembilan memiliki 36 kerusi DUN yang menyaksikan PH dipimpin Aminuddin menguasai 20 kerusi (DAP-11, PKR-enam, Amanah-tiga) diikuti Barisan Nasional (BN) 16 kerusi (UMNO-15 dan MIC-satu). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!