PRN: Rakyat perlu pilih pemimpin terbaik - Mufti Kelantan
KOTA BHARU - Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berpandangan rakyat perlu memilih calon yang terbaik untuk diangkat sebagai pemimpin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Beliau berkata, wakil rakyat yang dipilih pada PRN itu nanti diibaratkan seperti peguam yang hadir ke mahkamah untuk membela kumpulan berkenaan.
"Jadi wakil (rakyat) tidak perlu bercakap kerana sudah menjadi kerja peguam (wakil rakyat) untuk membela. Justeru rakyat perlu tahu siapa yang diperlu diserahkan perwakilan dan mandat itu.
"Kena tahu, kalau tersalah pilih peguam bela, kita akan kalah dalam perbicaraan," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu, beliau merasmikan Arafah #QuranHour 1444H Tema: "Syukur Membina Takwa" di Masjid Sultan Muhammad II, Telipot dekat sini pada Rabu.
Seramai 700 peserta menjayakan program yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) tersebut.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mempunyai 45 kerusi pada Khamis secara rasmi dibubarkan pada 22 Jun bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ia susulan pengumuman Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada satu sidang akhbar bahawa pembubaran DUN itu mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!