Tiga sekeluarga nyaris maut langgar kerbau
PEKAN - Tiga sekeluarga nyaris maut apabila kenderaan dinaiki mereka merempuh sekumpulan kerbau yang melintas dalam kejadian di Kilometer 15 Jalan Pekan-Kuantan, pada pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa, Wan Mohamad Zaki Wan Abd Raman, 28, bersama isteri, Nur Izzati Zamri, 27, dan anak mereka, Wan Nur Zia Nafiza, dua tahun terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Suprintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa bersama keluarga dalam perjalanan dari Johor menghala ke Kelantan.
"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, empat ekor kerbau telah melintas dari arah kiri ke kanan.
“Pemandu kereta kemudian cuba mengelak ke sebelah kanan dan terlanggar tiga ekor kerbau," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, siasatan mendapati kejadian kemalangan berpunca daripada haiwan ternakan yang melintas jalan.
Katanya, kesemua mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya kereta jenis Perodua Myvi mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!