PRN: Tindakan Muda tanding solo sia-sia - Tun M
SEPANG - Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang akan bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang disifatkan sebagai sia-sia sekiranya tidak mampu membantu bentuk kerajaan.
Pengerusi Proklamasi Orang Melayu (POM), Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis berkata, tindakan parti itu yang akan meletakkan calon di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak mengubah keputusan dalam pembentukan kerajaan.
“Kalau Muda gerak solo dan bertanding dalam beberapa kerusi sahaja, apa yang boleh mereka buat dengan jumlah yang sedikit.
“Niat kita (bertanding) untuk tubuh kerajaan. Kalau letakkan cukup calon dan menang, boleh jadi kerajaan,” katanya pada sidang akhbar khas pada Rabu.
Sebelum ini Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan niat parti itu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bukan sekadar tidak dilayan malah diperlekehkan.
Justeru Ahli Parlimen Muar itu mengumumkan Muda akan bergerak secara solo dengan kekuatan sendiri dalam PRN akan datang.
Sementara itu Dr Mahathir berkata, beliau akan bertemu dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam waktu terdekat bagi memberi penerangan berkenaan POM.
“Saya akan jumpa dengan beliau (Muhyiddn) untuk jelaskan POM (iaitu) kita tidak menyokong sesiapa tetapi menyokong orang Melayu secara keseluruhannya,” ujarnya.
Muhyiddin sebelum ini dilapor akan mengadakan perjumpaan dengan bekas Perdana Menteri itu bagi membincangkan kerjasama menerusi POM setelah membaca 12 agenda dalam proklamasi yang disifatkan sebagai antara prinsip perjuangan PN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!