Aidiladha: Pengguna hadkan bajet, elak belanja berlebihan

Orang ramai mula membuat persiapan dengan membeli barang keperluan sebagai persiapan Hari Raya Aidiadha pada Khamis. (Gambar kecil: Azmi, Azura)
Orang ramai mula membuat persiapan dengan membeli barang keperluan sebagai persiapan Hari Raya Aidiadha pada Khamis. (Gambar kecil: Azmi, Azura)
A
A
A

SHAH ALAM - Peningkatan kos sara hidup memberi impak besar kepada rakyat Malaysia sehingga perlu mengehadkan perbelanjaan Aidiladha bagi mengelakkan pembaziran.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Pagi Seksyen 16, Shah Alam mendapati rata-rata pengguna mengakui terkesan dengan peningkatan harga barang keperluan harian menjelang Aidiladha berbanding sebelum ini.

Pesara kilang, Azmi Asri, 56, berkata, dia sentiasa berhati-hati dalam berbelanja terutamanya bagi perkara yang melibatkan keperluan dan kehendak kerana jika tersalah percaturan akan memberi kesan terhadap perbelanjaan harian.

“Harga barang mentah memang naik tapi ia bergantung kepada pengguna itu sendiri kalau nak berbelanja pun, beli yang mana patut saja.

" Saya harap pihak berwajib dapat kawal kenaikan harga barang keperluan rakyat,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Bagi seorang jururawat, Azura Mahmad Yusop, 52, berkata, persiapan Aidiladha kali ini dibuat secara sederhana kerana harga barang mentah meningkat.

“Saya beli barang sedikit saja hari ini, ada beli daun kari, daun kunyit, halia dan serai, belum masuk barang basah tapi harganya sudah hampir mencecah RM30. Memang tidak berbaloi,” katanya.

Turut mengakui perkara sama, Kamariah Sidek, 55, berkata, dia berbelanja sebanyak RM300 namun kuantiti barangan yang dibeli tidak sama seperti tahun sebelumnya.

“Bajet saya masih sama seperti tahun lepas tapi tetap kena kawal sebab harga tak berapa ‘cantik’, barang basah, daging, tulang, ayam dan beberapa rempah dah cecah RM300 tapi kuantitinya sedikit.

Orang ramai beratur untuk membeli ayam di Pasar Pagi Seksyen 16, Shah Alam pada Rabu. (Gambar kecil: Jaki dan Akmal Daniel )
Orang ramai beratur untuk membeli ayam di Pasar Pagi Seksyen 16, Shah Alam pada Rabu. (Gambar kecil: Jaki dan Akmal Daniel )

“Memang kena bajet betul-betul sebelum buat pembelian kalau boleh sediakan senarai barang sebelum datang ke sini (pasar) sebab risau membazir,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Jaki Sahamin, 40, memaklumkan berlaku peningkatan harga ayam dan daging namun ia tidak ketara.

“Setakat sekarang harga ayam dan daging dijual mengikut harga syiling yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan jika ada kenaikan harga pun tak banyak.

“Kalau dari segi keuntungan pula, alhamdulillah masih cukup untuk menampung kos operasi,” jelasnya.

Peniaga sayur, Akmal Daniel Mahmud, 19, pula berkata, harga yang ditawarkan kepada pengguna masih sama dan tiada peningkatan walaupun menjelang Aidiladha.

“Harga jualan masih sama kerana tiada peningkatan daripada pembekal. Pelanggan juga tiada yang mengeluh setakat sekarang,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!