DAP tiada dasar halang calon tanding dua kerusi

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - DAP tidak mempunyai dasar untuk menghalang mana-mana calon untuk bertanding dua kerusi pada mana-mana pilihan raya.

Bagaimanapun Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ketetapan itu bergantung kepada negeri tertentu.

"Memang selama ini tiada dasar yang tetap berhubung dengan perkara ini.

"Ada negeri tertentu memang ada calon yang tanding dua kerusi.

"Tertakluk kepada keadaan setiap negeri manakala jawatan kuasa negeri boleh buat syor dan cadangan mengenai perkara ini," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, pada Rabu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Kon Yeow bertanding dua kerusi iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota dan Parlimen Tanjong.

Turut bertanding di dua kerusi pada PRU14 lalu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang bertanding di DUN Air Putih dan Parlimen Bagan.

Sementara itu ditanya mengenai keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan untuk ‘bertarung’ di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Kon Yeow berkata, lebih baik perkara itu ditangani di peringkat pusat yang memimpin segala urusan termasuk kerjasama dengan parti-parti lain dalam gabungan.

"Secara peribadi, saya rasa lebih baik berlawan satu lawan satu pada pilihan raya negeri ini.

"Pilihan raya umum lalu telah menunjukkan pertandingan banyak penjuru hanya menyebabkan beberapa calon kehilangan deposit mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!