8 individu ditahan, dadah bernilai hampir RM150,000 dirampas

M Kumar menunjukkan salah satu botol minuman yang mengandungi dadah ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Rabu.
M Kumar menunjukkan salah satu botol minuman yang mengandungi dadah ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis Johor merampas dadah bernilai hampir RM150,000 termasuk menahan lapan individu berusia 19 hingga 53 tahun hasil dua serbuan berasingan di Batu Pahat pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, lapan individu yang ditahan itu melibatkan enam lelaki dan dua perempuan warga tempatan.

“Hasil saringan ujian air kencing, didapati empat daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Tetrahydrocannabinol (THC), sementara semakan rekod mendapati seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Modus operandi sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan kereta dan rumah sewa sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan dan kegiatan ini (pengedaran dadah) dipercayai telah aktif beroperasi sejak Mac 2023 lalu,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Rabu.

Dalam pada itu, Kumar berkata, polis turut membuat rampasan dadah dengan anggaran berat 16.22 kilogram (kg) dengan nilai RM134,657.87 dan boleh digunakan 81,119 penagih.

Untuk rekod, serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik itu dilaksanakan mulai jam 8 pagi hingga 6.30 petang pada Selasa.

Hasil serbuan berkenaan, polis turut menyita dua motosikal dengan nilai sitaan RM22,000 dan menjadikan jumlah keseluruhan bagi rampasan dadah dan sitaan adalah sebanyak RM156,657.87.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!