'Jilat belakang pisau, petua elak daging korban berlemak'
PASIR PUTEH - Jilat belakang pisau, sapu darah pada haiwan korban merupakan petua yang diguna pakai sejak 30 tahun lalu oleh tukang sembelih dari Kampung Bukit Merbau, Selising dekat sini bagi mengelakkan daging berlemak.
Abdul Rahman Ishak, 78, berkata, selain itu bagi memastikan daging korban lembut dan tidak berbau, kedudukan lembu semasa menyembelih hendaklah sama sisi dengan betis penyembelih.
"Kalau hendak makan daging sedap, semasa sembelih biar pisau terkena sedikit pada halkum lembu.
"Kalau jauh dengan halkum daging akan jadi keras. Itulah antara petua yang saya amalkan serta pelajari sejak kali pertama menjadi penyembelih haiwan korban ketika berusia awal 30 an," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rabu.
Menurut bapa kepada tiga orang anak itu, setiap kali Aidiladha dia memikul amanah untuk melaksanakan ibadah korban sehingga mencecah 20 ekor lembu.
Ujarnya, setiap kali melakukan pekerjaan itu dia tidak banyak bercakap dan perlu menyiapkan tugasan tersebut dengan segera.
Abdul Rahman memberitahu, badannya sering kali dipenuhi darah dan menurut petuanya lagi pisau yang digunakan tidak boleh dilap atau dicuci sehinggalah semua penyembelihan selesai dilakukan.
"Pisau yang ada hanya digunakan untuk ibadah korban sahaja.
"Setakat ini, tiada sebarang kejadian pelik berlaku sepanjang ibadah korban kerana persiapan awal sangat diutamakan sebelum ia dilaksanakan," ujarnya.
Datuk kepada 13 cucu itu memberitahu, dia mulai perlahan-lahan menolak permintaan orang ramai walaupun sukar kerana faktor usia.
Menurutnya, tukang sembelih adalah individu paling penting setiap kali ibadah korban dan bukan sebarangan orang boleh melakukannya.
Tambahnya, dia berharap ada golongan muda yang sudi dan ingin mempelajari ilmu penyembelihan.
"Saya bersedia menurunkan ilmu-ilmu yang ada kepada anak muda yang berminat. Ini kerana tukang sembelih sedia ada sudah berusia," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!