Aidiladha: Lebih 5 juta kenderaan dijangka berada di lebuh raya

Lebih lima juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya sempena Hari Raya Aidiladha. - Foto Bernama
Lebih lima juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya sempena Hari Raya Aidiladha. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Lebih lima juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada Khamis.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pertambahan jumlah kenderaan dijangka berlaku secara berperingkat sejak 27 Jun hingga 3 Julai ini.

"Jumlah purata peningkatan trafik harian di seluruh lebuh raya mampu mencecah sehingga 5.1 juta transaksi kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persediaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (Arah Selatan) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada Rabu.

Nanta berkata, daripada jumlah tersebut, purata harian trafik di Lebuhraya Utara Selatan dijangka mencapai sehingga dua juta kenderaan manakala di Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 masing-masing mencecah sehingga 170,000 dan 60,000 kenderaan sehari.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM bersedia sepenuhnya untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya, dan syarikat konsesi lebuh raya telah diarahkan untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi meminimumkan kesan negatif peningkatan trafik.

Beliau berkata, syarikat konsesi diminta untuk memastikan tiada kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula 24 Jun hingga 3 Julai dan mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 bagi membantu pengguna merancang perjalanan.

Nanta berkata, pihak PLUS akan mengaktifkan laluan 'smart lane' atau laluan kontra di beberapa lokasi berdasarkan keperluan dan kesesuaian bagi menambah kapasiti dan melancarkan trafik.

Menurutnya, langkah-langkah lain termasuk meningkatkan pengurusan pengoperasian dengan menambah sehingga 20 peratus petugas lebuh raya seperti anggota peronda, petugas di plaza tol dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol dan menempatkan petugas untuk memberi bantuan kepada pengguna yang bermasalah.

Nanta berkata, pihaknya juga akan memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.

Katanya, untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM akan beroperasi 24 jam pada 28 Jun dan 2 Julai bagi membantu pengguna lebuh raya mendapatkan maklumat trafik terkini.

Dalam pada itu, Nanta berkata, bagi mengatasi kesesakan laluan RFID, kakitangan akan disediakan dengan pengimbas mudah alih bagi melancarkan trafik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!