Johor sasar 4 ke 5 projek perumahan 'sakit' selesai setiap tahun
JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri Johor menyasarkan empat hingga lima projek perumahan ‘sakit’ dan terbengkalai yang dikesan dapat diselesaikan setiap tahun.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 33 projek ‘sakit’ termasuk lapan projek yang terbengkalai berjaya dikesan setakat 31 Januari lalu.
“Tahun lalu, kita sudah selesaikan dua projek sakit iaitu di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi membabitkan 87 unit rumah dan Residensi Prima Kota Tinggi sebanyak 625 unit rumah.
“Oleh itu, bagi tahun ini, kita jangkakan tiga lagi projek sakit akan selesai, iaitu di Taman Seri Saujana, Kulai, Desa Impian Bandar Tenggara dan Taman Koperasi Nelayan, Mersing, serta satu projek terbengkalai di Taman Desa Kempas.
"Mungkin kita sasarkan, setiap tahun paling banyak empat atau lima projek sakit dan terbengkalai ini dapat diselesaikan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan ke projek terbengkalai di Taman Desa Kempas pada Selasa.
Difahamkan, rumah pangsa Taman Desa Kempas itu sepatutnya telah siap pada 2004 lalu, namun terbengkalai hampir 19 tahun dengan pembinaan asal sebanyak sembilan blok.
Bagaimanapun, pihak pemaju dikatakan berdepan masalah dan hanya tiga blok berjaya disiapkan pada 2021 dengan 172 unit rumah serta tujuh unit kedai.
Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, isu projek sakit dan terbengkalai ini sebenarnya merupakan satu penganiayaan kepada pembeli rumah atau rakyat.
Justeru katanya, biarpun isu projek sakit dan terbengkalai ini bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri tetapi kerajaan negeri sanggup membantu.
"Bila ada pemaju datang pada kita, kita akan bantu panggil agensi seperti Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Ranhill SAJ dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bersama-sama selesaikan isu ini.
“Sebenarnya di peringkat teknikal, dah nak selesai, jadi kita jangkakan sebelum 15 Julai depan, CCC (Sijil Penyiapan dan Pematuhan) akan dikeluarkan," katanya.
Sementara itu, Mohd Jafni berkata, segala usaha menyelesaikan isu projek sakit dan terbengkalai menjadi rumit sekiranya masalah itu melibatkan undang-undang selain status tanah dan pihak pemaju melarikan diri atau meninggal projek tersebut.
"Bila cakap pasal projek sakit ini, biasanya mungkin pemaju ada masalah sehingga mereka tidak dapat memenuhi syarat menyebabkan projek tertangguh dan kos meningkat, tetapi mereka perlu siapkan juga, lebih-lebih lagi jika mereka ada projek pembangunan di tempat lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!