Aidiladha: 5.1 juta kenderaan dijangka berada di lebuh raya

Nanta (dua dari kanan) berkata pertambahan jumlah kenderaan itu akan berlaku secara berperingkat bermula 27 Jun hingga 3 Julai. - Foto Astro AWANI
Nanta (dua dari kanan) berkata pertambahan jumlah kenderaan itu akan berlaku secara berperingkat bermula 27 Jun hingga 3 Julai. - Foto Astro AWANI
A
A
A

DENGKIL - Sebanyak 5.1 juta kenderaan dijangka memenuhi seluruh lebuh raya sempena sambutan perayaan Aidiladha.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pertambahan jumlah kenderaan itu akan berlaku secara berperingkat bermula 27 Jun hingga 3 Julai.

Menurutnya, sebagai persediaan, pihaknya telah mengarahkan beberapa langkah proaktif bagi meminimumkan implikasi negatif ekoran peningkatan trafik di semua lebuh raya.

"Tiada kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong lebuh raya bermula 24 Jun hingga 3 Julai.

"Laluan 'smart lane' atau laluan kontra akan diaktifkan di beberapa lokasi berdasarkan keperluan.

"Memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik selain menempatkan petugas tol untuk memberi bantuan kepada pengguna berdepan masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil pada Rabu.

Sebelum itu, beliau turut meluangkan masa mengadakan lawatan dan beramah mesra bersama pengguna lebuh raya di R&R Dengkil.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Secara keseluruhan, purata harian trafik melibatkan Lebuh Raya Utara Selatan dijangka mencapai sehingga 2 juta kenderaan.

Manakala Lebuh Raya KL-Karak serta Lebuh Raya Pantai Timur 1 masing-masing mencecah sehingga 170,000 kenderaan untuk tempoh sehari. - AWANI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!