PRN: Tindakan tegas jika anjur ceramah tanpa permit

Fisol
Fisol
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah mengingatkan parti politik supaya mendapatkan permit bagi sebarang penganjuran perhimpunan membabitkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan penganjur didenda tidak melebihi RM10,000 kerana melakukan kesalahan bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 ( Akta 736).

Menurutnya, penganjur perhimpunan perlu mengemukakan permohonan dalam tempoh lima hari sebelum tarikh perhimpunan diadakan kepada Ketua Polis Daerah.

“Sebarang perhimpunan yang hendak diadakan sebelum pengumuman calon, adalah tertakluk bawah Akta Perhimpunan Aman.

"Permohonan permit boleh dikemukakan secara pos berdaftar akuan terima atau kiriman cepat atau secara serahan tangan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Rabu.

Fisol berkata, dalam tempoh kempen pilihan raya, mana-mana calon boleh mengadakan perjumpaan awam, perhimpunan, pertunjukan dan hiburan terbuka atau menyampaikan ceramah secara terbuka setelah memperolehi permit yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah tersebut.

“Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) berkuat kuasa setelah calon-calon bertanding diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon sehingga hari pengumuman keputusan dibuat.

“Mana-mana pihak yang gagal berbuat demikian adalah melakukan kesalahan bawah Seksyen 24B(3) akta sama, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 atau kedua-duanya,” jelasnya.

Menurutnya, kesalahan yang kerap dilakukan sepanjang musim pilihan raya termasuk ceramah tanpa permit, khianat, merusuh, mengaibkan kehormatan serta mengedar risalah berunsurkan hasutan.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.

“Polis Kedah akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini sentiasa terpelihara dan aman. Kita harapkan kerjasama semua pihak untuk memainkan peranan agar proses PRN berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Fisol berkata, Polis Kedah juga akan bekerjasama erat dengan semua agensi terutamanya SPR bagi memastikan proses pemilihan demokrasi di negeri ini lancar.

“Kita bersedia sepenuhnya untuk hadapi tiga fasa penugasan PRN, iaitu penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pembuangan undi.

“Bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman sepanjang penugasan PRN, seramai 4,794 pegawai dan anggota polis pelbagai pangkat ditugaskan di seluruh negeri ini.

“Daripada jumlah itu, 3,035 anggota akan melakukan penugasan SPR, 646 anggota untuk penyelia Pusat Undi dan selebihnya bagi penugasan 50 meter,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Polis Kedah turut menerima bantuan petugas dari Bukit Aman, Sukarelawan Simpanan Polis (SSPDRM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), merangkumi keseluruhan petugas seramai 8,207 orang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!