PRN: Muda cadang Exco, Menteri Besar wajib isytihar harta
PETALING JAYA - Barisan Exco dan Menteri Besar dicadangkan supaya wajib mengisytiharkan harta dan rangkaian perniagaan yang dimiliki sekiranya membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara ini penting untuk memastikan bahawa tidak ada pertindihan kepentingan yang menyebabkan kroni kapitalisme lebih teruk.
"Bagi PRN enam negeri ini, parti-parti bersama memberi komitmen jika mereka menduduki takhta kuasa, barisan Exco dan Menteri Besar diwajibkan isyithar segala aset dan rangkain perniagaan mereka miliki.
"Tetapi lebih merisaukan jika pengumpulan harta berkenaan berlaku apabila seseorang itu duduki kuasa. Keduanya ia juga desakan dan 'wake up call' yang jelas supaya perkara sama dilakukan secepat mungkin di peringkat persekutuan.
"Perkara ini (isytihar harta) dilengah-lengahkan sehingga rakyat tanya soalan mengapa dahulu boleh dan sekarang seperti ingin sembunyikan," katanya pada sidang akhbar pada Rabu.
Dalam pada itu, Syed Saddiq meminta Kerajaan Perpaduan memberi penjelasan mengenai pengisytiharan harta yang didakwanya tidak lagi dikuatkuasa.
"Salah satu cara kita pastikan kita dapat tentang korupsi jika seseorang menduduki takhta kuasa diwajibkan untuk isytihar harta. Menerusi cara ini amat mudah badan penguat kuasa melakukan penilaian aset yang dimiliki sebelum menduduki kuasa dan selepas.
“Kalau ada pertambahan luar biasa dapat dijalankan siasatan. Adakah apa-apa yang ingin disembunyikan dan mengapa mereka yang menduduki kuasa tidak ingin mendedahkan nilai aset dan harta kepada rakyat?,” soalnya.
Syed saddiq berkata, tuntutan yang dilakukannya itu tidak berkait dengan cemburu sebaliknya beliau mempersoalkan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini dilihat konsisten memperjuangkan pengisytiharan harta.
"Sistem yang bermula pada 2018 secara terbuka tersebut perlu diteruskan demi memastikan kerajaan Persekutuan melaksanakan pentadbiran yang berintergriti dan telus. Kenapa dulu boleh? Apa yang hendak disembunyikan,” ujarnya.
Sementara itu, Syed Saddiq berkata, Muda bersetuju mengadakan pertemuan dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi membincangkan kemungkinan kerjasama dalam PRN akan datang.
Menurutnya, kedua-dua parti mempunyai persamaan berbanding perbezaan.
"Kita harus bekerjasama tetapi dari segi mesyuarat ia akan ditetapkan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!