Penduduk lapor polis dakwa dinafikan hak terima bantuan banjir

Sebahagian daripada kira-kira 150 penduduk di Bandar Baru Bukit Mentok, di Kemaman mendakwa masih belum mendapat bantuan banjir berjumlah RM1,000 daripada kerajaan negeri dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebagaimana dijanjikan.
Sebahagian daripada kira-kira 150 penduduk di Bandar Baru Bukit Mentok, di Kemaman mendakwa masih belum mendapat bantuan banjir berjumlah RM1,000 daripada kerajaan negeri dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebagaimana dijanjikan.
A
A
A

KEMAMAN - Sekumpulan penduduk membuat laporan polis bagi meminta siasatan dilakukan kerana mendakawa mereka terkeluar daripada senarai penerima bantuan banjir daripada kerajaan.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini kira-kira jam 11.30 pagi pada Rabu.

Kumpulan itu mewakili kira-kira 150 penduduk di Bandar Baru Bukit Mentok dekat sini yang mendakwa masih belum mendapat bantuan banjir berjumlah RM1,000 daripada kerajaan negeri dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebagaimana dijanjikan.

Wakil penduduk, Kamarul Azhar Nawi, 48, berkata, mereka kesal dan kecewa kerana tidak diberi penjelasan mengenai kelewatan pemberian bantuan meskipun sudah menunggu hampir enam bulan.

"Sudah 10 tahun saya berdepan bencana banjir, ini kali pertama berdepan dengan masalah bantuan, sebelum ini, memang tiada masalah.

"Kami tunggu bantuan dekat enam bulan malangnya kami diberitahu nama kami tidak tersenarai sebagai penerima mendaftar sebagai mangsa banjir.

"Lebih mengecewakan, ada beberapa jiran saya namanya tersenarai sebagai penerima, tetapi saya tidak tersenarai," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di sini, pada Rabu.

Menurut Kamarul Azhar, laporan itu dibuat bagi membolehkan siasatan sewajarnya dilakukan selain sebagai jalan terakhir setelah mereka gagal mendapat penjelasan daripada pihak bertanggungjawab.

"Kami cuba menghubungi pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Exco yang bertanggungjawab, namun tidak mendapat sebarang maklum balas," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Nor Mohamad Rizal Ibrahim, 38, berkata, sebelum ini dia tidak tersenarai bagi penerima fasa pertama pada April lalu dan berharap akan disenarai sebagai penerima fasa kedua yang dijadualkan pada Julai ini.

"Rumah saya dinaiki air Disember tahun lalu, ada barang yang rosak dan saya terpaksa beli baru. Sekurang-kurangnya kalau dapat duit bantuan, boleh saya gunakan untuk beli barang-barang ataupun guna untuk musim perayaan.

"Saya bukan terlalu mengejar duit bantuan, namun dalam perkara ini hak saya sebagai salah seorang mangsa banjir seolah-olah dinafikan," katanya.

Menurut Nor Mohamad Rizal, dia terpaksa menumpang di rumah kenalannya ketika banjir melanda pada Disember tahun lalu kerana pusat pemindahan sementara (PPS) telah penuh.

"Apa yang menjadi isu sekarang ialah ada juga dalam kalangan mereka yang tidak berpindah ke PPS menerima bantuan banjir tetapi nama saya dan rakan-rakan lain yang juga mangsa banjir tidak tersenarai," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!