PRN: Muda buka permohonan pada orang ramai jadi calon

Lokman (dua dari kiri) akan menjelajah ke enam negeri bagi mencari calon berpotensi untuk PRN bagi mewakili Muda.
Lokman (dua dari kiri) akan menjelajah ke enam negeri bagi mencari calon berpotensi untuk PRN bagi mewakili Muda.
A
A
A

PETALING JAYA - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) membuka permohonan kepada orang ramai yang berminat menjadi calon di semua enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengarah Pilihan Raya Muda, Luqman Long berkata, pihaknya sedang mencari calon berpotensi dari semua lapisan masyarakat untuk menjadi 'calon rakyat' yang mampu memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

"Kita buka permohonan secara dalam talian menerusi pgoogle form. Calon ini perlu memenuhi kriteria penting dan asas iaitu calon yang rencam dan pelbagai dari segi latar belakang, komposisi antara lelaki serta wanita dan profesion.

"Keduanya tidak boleh sekadar jadi calon hanya suarakan isu-is berlaku pada masa ini tapi mereka mempunyai kebolehan untuk berhadapan masalah rakyat selain menjadi penyelesai masalah yang terbaik.

"Selain itu, calon yang mempunyai nilai integriti bukan sahaja mewakili muda tetapi rakyat dalam pentas pembuatan polisi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar pada Rabu yang turut dihadiri Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebelum ini Presiden Muda, Syed Saddiq menegaskan niat parti itu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bukan sekadar tidak dilayan malah diperlekehkan.

Justeru, Ahli Parlimen Muar itu mengumumkan Muda akan bergerak secara solo dengan kekuatan sendiri dalam PRN akan datang.

Sementara itu, Luqman yang juga Ketua Penerangan Muda berkata, parti itu berhasrat meletakkan sekurang-kurangnya 50 peratus calon wanita pada PRN.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi Muda tetapi perkara tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Jelas Luqman, Muda juga berhasrat untuk menjelajah ke enam negeri bagi mencari calon berpotensi untuk pilihan raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!