C4 Center, UNODC kumpul input komprehensif gubal Akta Perolehan

Para peserta dan penganjur bergambar bersama selepas usai program pada Rabu.
Para peserta dan penganjur bergambar bersama selepas usai program pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bengkel Kesedaran Lebih Baik Terhadap Perolehan Awam anjuran Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dan Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) yang berakhir hari ini (Rabu) berjaya mengumpulkan pemegang taruh bagi mendapatkan input berhubung penggubalan Akta Perolehan yang komprehensif.

Sesi dialog selama tiga hari itu melibatkan masyarakat sivil, sektor swasta, pakar serta wakil Kementerian Kewangan dan Parlimen.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah berkata, perbincangan dan sesi soal jawab yang berlangsung amat signifikan dalam membawa dimensi pertukaran idea di antara pemegang taruh dalam membawa agenda reformasi terhadap Akta Perolehan negara.

"Apa yang lebih penting adalah penglibatan wakil Kementerian Kewangan dalam dialog ini dilihat satu langkah penting dalam kesungguhan untuk kita membangunkan sistem perolehan yang lebih baik berdasarkan prinsip ketelusan dan integriti.

"Saya fikir perkara ini boleh dicapai oleh Malaysia," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas penutup Bengkel Kesedaran Lebih Baik Terhadap Perolehan Awam di sini pada Rabu.

Kesemua peserta turut didedahkan dengan perkara-perkara baik yang perlu dimasukkan dalam draf Rang Undang-undang Perolehan antaranya peruntukan Kebebasan Maklumat; perundingan yang meluas dan pelbagai; penglibatan media; penyelarasan antara proses perolehan Negeri dan Persekutuan serta sistem e-perolehan yang berkesan dan mantap.

Jelas Pushpan, semua input yang diterima sepanjang tempoh tiga hari itu akan menjadi titik permulaan dalam mengenal pasti prinsip bagi penggubalan Rang Undang-undang Perolehan.

"Kami juga menggesa kerajaan supaya mengulangi kesediaannya dalam merealisasikan semua hasrat ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!